HomeUtamaIdea laksana inovasi berjaya optimum penggunaan sumber

Idea laksana inovasi berjaya optimum penggunaan sumber

Read Time:1 Minute, 46 Second

Kota Kinabalu : Kepelbagaian idea dalam melaksanakan inovasi dan teknologi khususnya di negeri ini telah berjaya mengoptimumkan penggunaan sumber demi kelangsungan sekuriti makanan di samping dapat menjana pendapatan lumayan kepada usahawan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, idea yang disumbangkan itu juga mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.

Katanya, isu sekuriti makanan bukan sekadar mengatasi kekurangan bekalan tetapi perlu mencari solusi kepada suatu ekosistem melalui penggunaan teknologi terkini.

“Kepelbagaian budaya dan kekayaan sumber negeri Sabah menjadi kelebihan kepada kita, namun cabaran hari ini adalah bagaimana untuk mengurus agar kelestarian terus terpelihara.

“Sebanyak 28 idea perniagaan berentap di peringkat akhir dan setiap idea ini memiliki kekuatan dan keunikan yang tersendiri. Saya difahamkan, sepanjang program ini berlangsung, pelbagai idea perniagaan dapat dicungkil daripada para peserta di keempat-empat zon yang terlibat.

“Saya amat berharap inovasi yang dilihat kecil malah tidak diiktiraf sebelumnya menjadi sesuatu yang bernilai menjadi sumber pendapatan kepada inovator itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Picthborneo 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Arifin berkata, melalui Program Pitchborneo ini, seramai 112 usahawan telah menerima dana bernilai RM20,000 bagi setiap usahawan sejak tahun 2011 dan telah memperkasakan lebih daripada 1,400 usahawan melalui program ini.

“Tahun ini peserta-peserta akhir Pitchborneo sangat bertuah kerana selain daripada dana Kementerian Sains, Teknologi dan Invoasi (KSTI) program ini juga telah mendapat dana tambahan sebanyak RM100,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah menjadikan Top 1 sehingga 3 akan menerima dana bernilai lebih daripada RM20,000, TOP 4 sehingga 10 akan menerima dana bernilai RM20,000 dan TOP 11 sehingga 15 masing-masing akan menerima dana bernilai RM10,000,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, pihaknya berharap para pemenang dapat menggunakan ruang dan peluang untuk menjadi sinar dalam kalangan para usahawan di negeri ini agar dapat membantu diri ,keluarga mahupun masyarakat setempat.

“Bagi yang tidak berjaya kali ini jangan berputus asa, saya percaya pengalaman yang anda lalui sepanjang program ini akan membantu anda terus maju kehadapan dan moga idea inovasi sekuriti makanan anda tetap diteruskan demi kelestarian sumber makanan kita nanti,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Jual paku simen 20 sen sebatang, peniaga warga asing terima notis...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular