KOTA KINABALU: Susulan dakwaan menjual beras plastik, Bahagian Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Negeri Sabah telah melakukan pengambilan sampel beras di premis peruncit dan pembekal berkenaan untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisa.
Pengarah KPB Sabah, Ab Alim Multazam berkata, pengambilan sampel itu berikutan rakaman video tular di media sosial sejak beberapa hari lalu berhubung penjualan beras plastik oleh syarikat yang menjaga industri padi dan beras di negeri Sabah.
Katanya, setakat ini, pihaknya sudah menerima aduan daripada pihak peruncit dan pembekal jenama berkenaan.
“Aduan yang diterima adalah berkaitan komen-komen negatif terhadap penularan video di media sosial yang dikhuatiri boleh menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengguna.
“Pihak KPB sudah menjalankan siasatan berkaitan dakwaan ini dengan melakukan pengambilan sampel beras di premis peruncit dan pembekal untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisa,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Menurut Ab Alim, pihak KPB juga sama sekali menangkis dakwaan terdapat beras plastik di dalam negara ini secara amnya.
“Setiap kemasukan beras import, pihak Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) akan terlebih dahulu membuat ujian makmal bagi memeriksa keselamatan bahan makanan berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata, pihak negara pengeksport juga diminta untuk mengemukakan sijil keselamatan sebagai salah satu syarat ditetapkan.
“Proses ini amat dititikberatkan untuk setiap kemasukan beras import ke negara ini bagi menjamin keselamatan terhadap beras yang merupakan makanan ruji rakyat di negara ini.
“Pihak KPB tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kegusaran awam terhadap isu keselamatan makanan terutamanya berkaitan beras,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tampil membuat aduan secara rasmi ataupun mendapatkan keterangan sahih daripada KPB dan bukannya menyebarkan sebarang maklumat palsu atau tidak berasas di media sosial.
“Biarlah pihak bertauliah atau pakar membuat pengesahan mengikut kaedah ditetapkan. Jangan membuat keputusan sendiri yang akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada diri sendiri yang sekaligus melibatkan integriti pihak lain.
“Pihak KPB sentiasa komited dalam memastikan keterjaminan makanan selamat digunakan oleh pengguna di negara ini.
“Pihak KPB juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap yang tidak bertanggungjawab dengan menularkan dakwaan palsu berkaitan beras,” katanya.