HomeUtamaAiI bantu belia dapat pekerjaan, tingkatkan kemahiran

AiI bantu belia dapat pekerjaan, tingkatkan kemahiran

Read Time:1 Minute, 57 Second

Ranau : Inisiatif ‘Academy in Industry’ (AiI) merupakan usaha membantu para belia dan golongan sasar mendapatkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkat, inisiatif berkonsepkan latihan sebenar dalam syarikat itu merupakan platform terbaik kepada belia Sabah yang ingin bekerja sambil belajar.

“Usaha kerajaan ini adalah bagi meningkatkan produktiviti terutama dalam menyokong aspirasi kerajaan dalam melahirkan pekerja mahir sejajar dengan keperluan industri.

“Ia juga akan membantu meningkatkan kebolehpasaran Tenaga Kerja Malaysia yang dapat menyelesaikan pelbagai cabaran berkait peluang pekerjaan, peluang belajar dan dapat meningkatkan produktiviti menerusi bakat- bakat dari kalangan rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ‘Productivity @ Kinabalu’ dan AiI Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Persatuan Warga MPC (PWMPC) dengan kerjasama FGV Holdings Berhad (FGV) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam.

Hajiji berkata, peserta AiI akan dilatih selama 18 bulan dan seterusnya diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) serta akan dilatih dan diberi pendedahan kepada kemahiran yang dicari oleh pihak majikan berdasarkan konsep hands-on dan on the job training.

“Kerajaan negeri amat menyokong inisiatif ini sejajar dengan komitmen kerajaan negeri mesra pelabur yang mana amat memerlukan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dan diharap anak- anak Sabah akan dapat merebut peluang ini bagi menambah ilmu dan meningkat kemahiran mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut memaklumkan bahawa program CSR tersebut adalah selaras dengan agenda kerajaan negeri dalam menyokong dan mempromosikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutamanya dalam bidang ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Ia juga sejajar dengan usaha mencapai keseimbangan antara keperluan operasi pembangunan dan memberikan impak positif kepada masyarakat,” katanya.

Pada program tersebut, MPC menganjurkan Program Cakna Bakat Produktif AiI yang merupakan salah satu agenda memperkasakan bakat masa hadapan dengan menyasarkan 50,000 bakat tempatan yang ditempatkan ke industri menjelang tahun 2025.

Turut diadakan, penyampaian 50 helai jaket seragam untuk kegunaan malim gunung beserta sumbangan tunai yang diserahkan kepada Persatuan Malim Gunung Kinabalu (PEMANGKINA).

Selain itu, Ruslan turut menyampaikan sumbangan CSR kepada Sekolah Kebangsaan Bundu Tuhan, Sekolah Menengah Kebangsaan Bundu Tuhan dan Madrasah Rumah Transit Mualaf Sabah.

Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya Jabatan Ketua Menteri Datuk Rosmadi Datu Sulai, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah, Ketua Pegawai Komunikasi Kumpulan FGV Holdings Berhad, Azmi Yaakob dan Ahli Lembaga Taman-taman Sabah, Gabriel Sinit.

RELATED ARTICLES
Utama

Sistem air minuman secara mudah alih, berkuasa solar berjaya dibangunkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular