HomeSukanJailton tinggalkan Sabah FC selepas menyepi beberapa bulan

Jailton tinggalkan Sabah FC selepas menyepi beberapa bulan

Read Time:1 Minute, 47 Second

Kota Kinabalu : Teka-teki ‘kehilangan’ pemain import Sabah FC, Jailton Paraiba hampir empat bulan menyepi akhirnya terjawab apabila pemain itu mengumumkan meninggalkan skuad Badak yang disertainya awal tahun ini.

Jailton menerusi perkongsian di ruangan Instagramnya semalam bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai punca beliau meninggalkan Sabah FC.

Pemain itu juga dilihat tidak berkongsi perkara yang berlaku sehingga beliau tidak lagi dimasukkan dalam senarai pemain pasukan setiap kali perlawanan membabitkan Sabah FC sejak beberapa bulan lalu.

Aksi lincahnya diatas padang juga tidak kelihatan termasuk sesi latihan pasukan sejak akhir Julai lalu sehingga menimbulkan spekulasi mengatakan beliau menamatkan kontrak lebih awal dan kembali ke negara asal iaitu Brazil.

Namun, keresahan peminat pada ketika itu terubat apabila Jailton tampil membuat pencerahan melalui laman Instagram beliau mengatakan dirinya diletakkan sebagai pemain simpanan dalam pasukan Bawah 23 (B-23) Sabah FC.

Sementara itu, dalam perkongsiannya di laman Instastory Instagramnya semalam, pemain sayap berumur 32 tahun itu meluahkan rasa syukur dan terharu kepada peminat Sabah FC sepanjang bersama skuad Sang Badak.

“Perjalanan yang kita lalui bersama dalam kelab bola sepak ini penuh dengan saat yang tidak boleh dilupakan, semangat dan sokongan tidak berbelah bahagi.

“Dengan rasa sedih dan harapan yang bercampur baur, saya mengumumkan keberangkatan saya dari kelab ini. Ini adalah tahun dedikasi, keringat dan cinta kepada pasukan dan saya berbangga mendapat peluang memakai baju ini (baju Sabah FC) dan mewakili anda semua di padang,” katanya.

Beliau kemudian menyatakan terima kasih kepada penyokong Sabah FC yang disifatkannya sebagai pemberi semangat kepada pasukan.

Katanya, walaupun meninggalkan Sabah FC, beliau akan sentiasa mengingati hubungan yang terbina sepanjang berada dalam pasukan berkenaan.

“Saya meninggalkan kelab ini dengan satu pencapaian kerana saya tahu saya sudah memberikan yang terbaik dalam setiap permainan dan bangga mewakili warna yang anda sayangi.

“Saya akan menjadikan setiap detik tinggal di sini sebagai memori berharga dan sumber inspirasi saya untuk cabaran yang mendatang,” katanya.

Sepanjang bersama Sabah FC, Jailton sempat bermain dalam 14 perlawanan Liga Super dengan yang terakhir ketika Sabah FC menentang PDRM FC pada 8 Jun lalu.

Pada 2 Jun lalu, Jailton dikejarkan ke hospital dengan ambulans selepas mengalami kecederaan ketika Sabah menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar.

RELATED ARTICLES
Sukan

Veteran kekal aktif hayun raket di usia emas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular