Lahad Datu : Lebih 100 warga Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama keluarga hadir memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 peringkat ESSCOM di sini pagi tadi.
Program yang berlangsung di perkarangan Pejabat ESSCOM itu dirasmikan oleh Komander Eastern Command Datuk Victor Sanjos yang diwakili Timbalan Komander Eastern Command Brigadier Jeneral Ts Roslan Mat Saad.
Roslan ketika membacakan teks ucapan Victor berkata, sukan merupakan agen panyatuan kepada seluruh rakyat khususnya warga ESSCOM yang terdiri daripada pasukan keselamatan dan awam.
“Tubuh badan yang sihat secara tidak langsung akan memandu otak untuk sentiasa berfikir ke arah yang positif dan pada akhirnya kita dapat melakukan pekerjaan dengan lebih baik.
“Oleh itu, kita dapat mempersiapkan diri untuk kekal cergas dan cerdas dalam menabur khidmat kepada masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
“Di samping menjaga kesihatan dan kecergasan fizikal, saya juga ingin menyeru seluruh warga ESSCOM agar sentiasa menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan mental kerana mental yang sihat, adalah kunci anda menjadi hebat,” katanya,
Victor berkata, trend peningkatan isu atau masalah kesihatan mental serta tekanan emosi menjadi antara topik kesihatan awam yang semakin penting baik di sektor awam atau swasta, lebih-lebih lagi pada era pasca pandemik COVID-19.
“Justeru, sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober lalu, bertemakan ‘Kesihatan Mental Adalah Hak Asasi Manusia Sejagat’ adalah bertujuan untuk mengingatkan kita mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental selain menghindar kita daripada meletakkan stigma kepada individu yang mengidap penyakit mental sebagai tanda sokongan agar mereka dapat pulih seperti sedia kala,” katanya.
Dalam pada itu, Victor menyeryu agar semua pihak bersama-sama menyokong usaha Kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan dengan sasaran sekurang-kurangnya dua per tiga rakyat Malaysia aktif bersenam atau bersukan melalui lima sesi seminggu dan 30 minit bagi setiap sesi.
“Sehubungan itu, saya menyeru agar seluruh warga ESSCOM kekal aktif dan bersukan bagi meningkatkan kesihatan serta kecergasan seterusnya meningkatkan produktiviti dalam pekerjaan seharian,” katanya. – SABAH MEDIA/FOTO ESSCOM