HomePendapatPerdagangan Karbon, idea yang tepat pada masanya - Dr James

Perdagangan Karbon, idea yang tepat pada masanya – Dr James

Read Time:4 Minute, 2 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Idea Perdagangan Karbon adalah tepat pada masanya kerana ia merupakan satu konsep perniagaan yang dapat meningkatkan ekonomi sesebuah negara jika ia dapat dilaksanakan dengan baik, kata Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah, Dr James Alin.

Beliau berkata, sudah tiba masanya khususnya negeri Sabah dan berpendapat sekiranya ingin melaksanakan Projek Perdagangan Karbon, ia adalah satu idea yang baik sekali gus dapat memperkasa pembangunan ekonomi di negeri ini.

Dr James turut berkongsi mengenai keperluan karbon kepada manusia dan alam sekitar selain bermanfaat kepada sektor ekonomi.

Katanya, karbon tujuan utamanya adalah mengurangkan pelepasan karbon, Malaysia mempunyai pengeluaran karbon yang paling tinggi di antara negara Asia Tenggara.

“Itu dari segi udara, manakala dari segi gas kalau kita sebut karbon dioksida ini, ia bukan sahaja CO2 tetapi ia juga meliputi karbon-karbon beracun lain contohnya sulfur, monoksida dan gas lain-lain yang membahayakan kesihatan dan memudaratkan alam sekitar.

“Selain itu, ia juga menyumbang kepada masalah dunia yang kita panggil pemanasan global, perubahan cuaca yang ekstrim yang mana kita alami sebahagian fenomena elnino sekarang ini iaitu sentiasa hujan dan panas, ini semua ada hubung kait dengan apabila seluruh dunia melepaskan gas ke udara,” kongsinya kepada Sabah Media baru-baru ini.

Menurutnya, di Malaysia, khasnya Sabah mempunyai banyak hutan simpan, hutan simpan ini tidak boleh ditebang dan di dalamnya terdapat tiga kelas hutan yang dijangka boleh dimasukkan dalam projek jual beli karbon.

Katanya, jenis-jenis kelas hutan tersebut ialah Hutan Dara, Hutan Terlindung Kelas 1, Hutan Hidupan Liar, ada juga kelas hutan yang menjalankan aktiviti ekonomi yang didiami oleh orang asal dan juga terdapat aktiviti pembalakan di sekelilingnya, itu juga boleh dijadikan hutan simpan.

“Idea jual beli karbon ini, faktanya dari sudut sains apabila kita ada hutan simpan yang kita jaga, di bawah tanah yang ada pokok-pokok berusia berjuta tahun dan tidak pernah diusik ia akan menjadi gas CO2 dan gas-gas yang lain tersimpan di hutan itu sehinggalah pokok-pokok itu ditebang, jumlah karbon yang tersimpan itu boleh diukur dan kita boleh anggar dengan teknologi yang kita ada, itu dipanggil takungan karbon (carbon sink or carbon reservoir).

“Manakala setiap pokok di situ, ia menyedut gas-gas yang ada di situ, ini dipanggil sebagai penyerapan karbon (carbon sequestration) di dalam pokok itu ia ada juga terdapat gas-gas lain di dalamnya. Malah manusia juga ada karbon. Jadi jumlah karbon yang kita simpan itulah yang kita boleh jual beli, ideanya begitu,” jelasnya.

Berikutan dengan Perjanjian Konservasi Alam Semulajadi (NCA) yang ditandatangani Kerajaan Negeri Sabah pada Oktober 2021.

Dr James berkata, terdapat banyak pihak dari kalangan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik tidak bersetuju dengan perjanjian berkenaan.

“Perjanjian NCA itu ada ramai yang tidak bersetuju tetapi mereka bukan membantah idea penglibatan Sabah untuk memperdagangkan karbon, jual beli karbon tu konsep perniagaan yang bagus sebenarnya cuma melalui NCA itu ada beberapa sudut yang menjadi kontroversi malah menimbulkan tanda tanya dan curiga.

“Kalau ditanya sama ada jual beli karbon memberi manfaat ekonomi atau tidak, memang bolehlah sebab kita bukan negara pertama yang memperkenalkan dan memang mahu menceburi perdagangan yang begini, tapi dalam Malaysia, Sabah yang pertama berani mahu memperkenalkan konsep itu,” katanya.

Menurutnya, perdagangan karbon bermula dari Protokol Kyoto, sebuah perjanjian pertubuhan bangsa bangsa bersatu (PBB) yang menetapkan tujuan pengurangan emisi karbon global dan mitigasi perubahan iklim pada tahun 2005.

Justeru, sekiranya kerajaan Sabah berhasrat mahu menceburkan diri dalam perdagangan karbon, Dr James menasihatkan pihak-pihak yang terlibat supaya urus niaga karbon itu dilakukan dengan cara yang betul dan telus.

“Dan jika perjanjian terdahulu itu ada masalah mungkin kerajaan negeri boleh buat usaha lain atau perjanjian yang lain, bagaimanapun ia mestilah dilakukan dengan cara yang betul dan telus, maksudnya sekiranya kerajaan negeri merancang untuk meneruskan pelaksanaan projek perdagangan karbon maka ia adalah idea yang tepat pada masanya dan memang boleh memberi manfaat kepada ekonomi di negeri ini,” tambah beliau.

Menurut Dr James lagi, fakta yang menguatkan lagi potensi perdagangan karbon boleh direalisasikan di negeri ini, iaitu pada Mac 2023, kredit karbon tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia.

“Bursa Carbon Exchange (BCX), iaitu anak syarikat Bursa Malaysia Bhd berjaya melaksanakan lelongan kredit karbon sulung negara.

“Acara lelongan yang diadakan dijalankan secara elektronik itu menyaksikan penyertaan menggalakkan dengan 15 pembeli daripada pelbagai industri membeli sejumlah 150,000 kredit berdaftar standard karbon (Verra) yang disahkan. Verra ialah standard yang diiktiraf dalam pasaran karbon sukarela.

“Kredit karbon GNC+ daripada Projek Southern Cardamom, iaitu merupakan pengurangan pelepasan daripada penebangan hutan dan projek degradasi hutan dari Kemboja yang disertakan dengan piawaian iklim, komuniti dan biodiversiti serta menyediakan faedah tambahan bersama, menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti di kawasan masyarakat tempatan kehidupan panas biodiversiti Indo-Burma,” katanya yang memetik dari sumber laporan berita Bernama.

“Kenyataan itu menguatkan lagi dan menambah keyakinan kepada bakal pemilik projek tempatan untuk membangunkan projek perdagangan karbon, selain meningkatkan ekonomi ia juga boleh memberi impak sebenar dalam memerangi perubahan iklim global,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kelab Lions mampu membawa perubahan positif dalam komuniti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya