Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Masyarakat etnik pribumi Sabah perlu terus menggunakan istilah ‘Kadazan Dusun’ sebagai identiti generik mereka, kata Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Datuk Joseph Paulus Lantip.
Beliau berkata istilah itu sudah termaktub dalam perlembagaan KDCA dan perlu kekal sebagai identiti penyatuan bagi seluruh komuniti etnik dan sub-etnik dalam rumpun Dusunik, Murutik dan Paitanik.
“Dalam perlembagaan KDCA, kita gunakan istilah Kadazan Dusun. Jadi itulah yang perlu kita gunakan sebagai identiti bersama. Kalau kita terus mencari nama atau identiti baharu, sampai bila pun isu ini tidak akan selesai,” katanya.
Joseph berkata demikian semasa sesi pendaftaran Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Negeri Sabah 2026 di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, cadangan untuk memperkenalkan istilah tambahan seperti “KDMRS” hanya akan merumitkan usaha menyatukan komuniti itu di bawah satu identiti bersama.
Jelasnya, KDCA terdiri daripada 48 kumpulan etnik, sekali gus menjadikannya tidak praktikal untuk menyenaraikan setiap kumpulan etnik secara individu dalam penggunaan rasmi.
“Bagaimana kita mahu sebut semua singkatan atau akronim 48 kumpulan etnik itu satu persatu…. Sebab itu kita buat kesimpulan untuk gunakan Kadazan Dusun sahaja,” katanya.
Beliau menjelaskan anggota masyarakat masih boleh menggunakan identiti etnik masing-masing seperti Kimaragang, Rungus atau Sungai dalam keluarga dan komuniti masing-masing, sambil terus menggunakan identiti Kadazan Dusun dalam konteks umum.
Tambah beliau, identiti Kadazan Dusun juga sudah dikenali di peringkat antarabangsa menerusi sambutan Kaamatan dan pelbagai aktiviti komuniti yang diadakan di seluruh Malaysia serta luar negara.
Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan kekal penting dalam memperkukuh komuniti tersebut sekali gus menyelesaikan isu panggilan etnik di Sabah.



