CYBERJAYA — Akhirnya lucy dan juga wan ismail golok selamat mendirikan rumah tangga dalam satu majlis tertutup pagi tadi.
Melalui foto pernikahan mereka yang tular di media sosial hari ini, Pelakon dan pengarah tersohor, Sabri Yunus serta pasangannya Angeline Tan selamat diijabkabulkan walaupun ada yang menganggap itu sekadar babak dalam drama atau filem baharu.
Namun portal Utusan melaporkan bahawa pasangan itu selamat diijabkabulkan selepas sudah tiga tahun merancang untuk mendirikan rumah tangga namun menunggu kesediaan Angeline untuk memeluk Islam.
Sabri dan Angeline yang popular melalui sitkom popular era 90an, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang menampilkan mereka sebagai Lucy dan Wan Ismail Golok.
“Alhamdulillah, benar kami baru sahaja bernikah sebentar tadi. Tak tahu macam mana nak cerita, tetapi kami berdua bersyukur majlis pernikahan ini dipermudahkan.
“Kami sudah kenal lama, sejak 1992 lagi. Tetapi kami mula betul-betul rapat tiga tahun lalu. Malah, dua-dua pun pernah merasakan kehilangan. Susah senang, sihat sakit saling menemani.
“Tetapi saya tunggu dia untuk sedia peluk Islam. Alhamdulillah, awal Oktober hari itu dia memeluk Islam dan kami terus merancang untuk menikah hari ini,” ujarnya lapor portal itu lagi.
Dalam pada itu, Sabri juga bersyukur apabila anak dan keluarga kedua-dua belah pihak merestui niat mereka untuk mendirikan rumah tangga.
“Alhamdulillah, anak-anak kami merestui. Malah, keluarganya juga hadir ke majlis pernikahan kami.
“Saya berharap agar doa-doa yang baik daripada kalian dimakbulkan. Banyak perkara yang mungkin dia (Angeline) tak tahu. Berilah peluang kami berdua belajar.
“Apa yang penting keredaan dia menerima agama baharu dan juga niat kami berdua untuk sama-sama melayari bahtera perkahwinan ini hingga akhir hayat,” ujarnya.