HomeUtamaDBP lancar 22 buku baharu penulis tempatan

DBP lancar 22 buku baharu penulis tempatan

Read Time:1 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah melancarkan 22 buah buku baharu hasil karya 28 penulis tempatan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha DBP Cawangan Sabah mencari potensi dan mengetengahkan buku penulis negeri ini dalam industri buku negara wajar terus diberikan sokongan. 

“Ia selaras matlamat Sabah Maju Jaya iaitu membawa Sabah ke arah ketamadunan melalui tradisi ilmu berteraskan budaya membaca, penciptaan karya agung dan penguasaan bahasa beraras tinggi.

“Selain itu, usaha ini juga penting dalam pembangunan negara bangsa dan pemartabatan dunia persuratan kita khususnya kepada penulis di negeri ini.

“Diharap dengan pelancaran hari ini akan menjadi kekuatan kepada semua penulis untuk terus melahirkan karya dan penulisan yang bermutu serta mampu menjana ekonomi Sabah,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Arif pada Majlis Perasmian Karnival Semarak Bahasa 2023 dan Pelancaran Buku Baharu Penulis Sabah Terbitan DBP Tahun 2022/20223, di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Hajiji turut mengesyorkan kepada pihak berkuasa tempatan agar mempertimbangkan untuk memberikan nama-nama jalan atau bangunan sempena nama tokoh bahasa, penulis dan sasterawan di negeri ini sebagai menghargai jasa mereka.

Buku-buku yang dilancarkan dalam program berkenaan antaranya adalah Melawan Kebiasaan tulisan Hasyuda Abadi, Tekad Sumayyah oleh Laila Elok, Sebelum Menemukan Mimpi oleh Mohilis, Sihir Pendongeng tulisan Witer Gunik, Nyanyian Rakyat Rungus Sabah oleh Raymond Majumah dan Bagai Kelekatu oleh Kims Diwa.

Majlis Perasmian Karnival Semarak Bahasa 2023 akan diadakan bermula 17 dan 18 Oktober ini bertempat di DBP Cawangan Sabah dengan pelbagai pengisian program antaranya Pertandingan Bercerita Adikku, Jualan Buku Istimewa di gudang DBP, bengkel, pameran dan jualan. 

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Pembangunan), Datuk Dr. Ahmed Sade, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Aminah Awang Basar dan Sasterawan Negara Ketiga, Sukor Usin.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular