HomeUtamaWujudkan pusat perusahaan berasaskan gong di Matunggong

Wujudkan pusat perusahaan berasaskan gong di Matunggong

Read Time:3 Minute, 36 Second

MATUNGGONG: Daerah Kecil Matunggong perlu mewujudkan pusat perusahaan berasaskan gong, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Selain itu, beliau juga menyeru kepada para pembuat gong dan keseluruhan pemain industri dalam rantaian penghasilan alat muzik tradisional tersebut agar terus berjuang melalui rekacipta kreatif, yang bukan sahaja dapat mengekalkan keunikan ciri-ciri ciptaan tradisi tetapi juga berani menerokai ciptaan moden sekaligus memenuhi kehendak dan citarasa moden bagi menembusi pasaran antarabangsa.

“Saya menaruh harapan bahawa melalui bimbingan dan bantuan teknikal yang disediakan oleh pihak bertanggungjawab, industri pembuatan gong ini akan berkekalan dan terus bertambah maju pada masa hadapan,” katanya ketika merasmikan Pesta Gong yang diadakan di Dewan Terbuka Pekan Matunggong, di sini, pada Sabtu.

Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut berbangga kerana masyarakat suku kaum Rungus khususnya yang tinggal di daerah kecil Matunggong ini telah dianugerahkan dengan satu kemahiran khas itu, iaitu kebolehan merekabentuk dan mencipta gong dengan bunyi yang menarik sepadan dengan bentuk fizikal, jenis dan fungsi gong tersebut.

Pembuatan gong ini memerlukan kemahiran khas yang tersendiri dan tidak semua orang mampu melakukannya, katanya, sambil mengucapkan tahniah kepada mereka yang memiliki anugerah tersendiri yang tidak dimiliki oleh kebanyakan orang.

“Jagalah dengan baik kemahiran itu dan tingkatkan daya cipta serta kreativiti yang diperlukan dalam industri pembuatan gong.

“Kemahiran khas yang dimiliki itu biasanya akan hilang begitu sahaja kalau tidak ada generasi penerus. Sebab itu ada pepatah mengatakan “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” dan dalam hal ini, kemahiran rekacipta khas dalam pembuatan gong itu haruslah diturunkan kepada generasi baharu khususnya dalam kalangan anak-anak muda agar industri pembuatan gong ini tidak luput ditelan zaman.

“Mungkin, pada masa akan datang, antara pengisian acara Pesta Gong ini adalah pertandingan membuat gong dalam kalangan generasi muda. Jadi, saya mengharapkan agar anak-anak muda dapat mempelajari teknik-teknik serta kemahiran tertentu yang diperlukan untuk pembuatan gong ini,” ujarnya.

Sama seperti kumpulan masyarakat lain di Sabah, khususnya rumpun Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR), pada zaman dahulu, gong melambangkan kekayaan seseorang.

Gong ketika itu boleh digunakan untuk menggantikan wang dalam banyak hal yang berkaitan dengan urusniaga jual beli haiwan ternakan, tanah dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, gong juga adalah salah satu alat muzik yang sangat penting dalam urusan adat-istiadat seperti perkahwinan dan seumpamanya. Selain daripada itu, gong juga bolehdigunakan sebagai alat komunikasi melalui variasi paluan dan penghasilan bunyi yang membawa kepada pengertian mesej tertentu.

“Walaupun zaman sudah berubah dan pemodenan sudah mengambil alih peradaban lama, namun, itu tidak menjadi penghalang untuk meletakkan gong sebagai alat yang penting dalam budaya dan kehidupan harian masyarakat tempatan khususnya dalam kalangan suku kaum Rungus,” katanya.

Menurut beliau lagi, dalam satu Seminar Penulis Etnik Serantau yang telah diadakan di Kota Kinabalu pada tahun 2016, dikatakan bahawa industri pembuatan gong di Matunggong ini telah mula dikenali sehingga ke luar negara bermula pada tahun 1992.

“Pada ketika itu, Lembaga Kebudayaan Sabah telah memperkenalkan kampung Sumangkap di Matunggong ini sebagai salah satu lokasi pelancongan di Sabah yang berasaskan industri pembuatan gong.

“Melalui usaha awal itu, industri pembuatan gong terus berkembang maju sehingga menghasilkan banyak ciptaan baharu yang bersaiz biasa dan juga bersaiz kecil bagi memenuhi permintaan pasaran di Sabah, Malaysia dan malah sehingga ke luar negara.

“Melalui usaha ini, saya berharap industri pembuatan gong ini telah membantu meningkatkan lagi pendapatan isi rumah khususnya dalam kalangan pembuat gong dan pihak yang berkepentingan yang terlibat langsung dalam rantaian industri pembuatan gong ini,” katanya.

Dr. Joachim turut berbangga kerana Industri pembuatan gong di Matunggong ini sudah menghasilkan gong hiasan bersaiz besar seperti gong besar bertulis perkataan UMS (diameter = 6.8 kaki) yang terseragam indah di Universiti Malaysia Malaysia, gong SAMORA (diameter = 7 kaki) dan gong Kraftangan (diameter = 20 kaki).

“Perkara yang lebih indah dan masyarakat harus turut berbangga ialah apabila gong SAMORA telah dicatatkan di dalam Malaysia Book of Record pada 24 Oktober 2004 sebagai gong yang paling besar di Malaysia. Namun, sekiranya berdasarkan ukuran diameter, gong Kraftangan didapati adalah lebih besar berbanding gong SAMORA,” katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada ADUN Matunggong, Datuk Julita Majungki yang juga Pembantu Menteri Kewangan, Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Willey Lampaki selaku Pengerusi Penganjur dan semua pihak termasuklah Pejabat Daerah Kecil Matunggong dengan kerjasama beberapa jabatan Kerajaan, pertubuhan dan persatuan kebudayaan, NGO, dan penglibatan menyeluruh dalam kalangan para pemimpin masyarakat serta semua lapisan masyarakat atas kejayaan menganjurkan Pesta Gong 2023.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular