HomeUtamaPasukan, agensi keselamatan perlu tingkatkan operasi tangani aktiviti jenayah

Pasukan, agensi keselamatan perlu tingkatkan operasi tangani aktiviti jenayah

Read Time:3 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu operasi bersama antara pasukan dan agensi keselamatan negara terus dipertingkatkan bagi menangani pelbagai aktiviti jenayah sama ada di darat atau laut negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perairan negeri Sabah
yang luas dan panjang serta bersempadan dengan negara jiran, memberi cabaran kepada pasukan dan agensi keselamatan negara.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan, termasuk aktiviti penyeludupan dadah, rokok dan barangan bersubsidi, selain isu
pencerobohan nelayan asing dikesan di perairan negeri ini.

Bagaimanapun katanya, aktiviti itu dapat dipatahkan oleh pasukan dan agensi keselamatan negara termasuk oleh Maritim Malaysia, polis dan tentera.

“Saya berharap latihan bersepadu dalam operasi bersama antara pasukan dan agensi keselamatan negara terus dipertingkatkan pada masa akan datang, bagi menangani
pelbagai aktiviti jenayah sama ada di darat atau laut di negeri ini.

“Bagi memacu ketersediaan aset dan kompetensi untuk melindungi dan mempertahankan kepentingan Zon Maritim Malaysia pada setiap masa, saya berharap melalui eksesais yang dilaksanakan, akan dapat meningkatkan lagi kecekapan Maritim Malaysia dalam membantu mengawal keselamatan di perairan negara khususnya di negeri ini.

“Ia kerana Maritim Malaysia adalah antara agensi yang mempunyai peranan penting dalam memelihara keselamatan perairan negara”, katanya ketika merasmikan Eksesais Maritim Perkasa Timur 2/2023 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Sabah Port, di sini pada Isnin.

Hajiji (kanan) diiringi Hamid melawat Kapal Ronda Maritim KM Arau selepas majlis pelancaran.

Hajiji berkata, Kerajaan negeri amat menghargai usaha Maritim Malaysia dan bersedia memberi kerjasama dalam apa jua perkara dan menjadikan agenda utama dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara khususnya negeri Sabah terjamin.

Katanya, kerajaan negeri juga amat menghargai dan menyanjung tinggi pengorbanan serta kerja keras perwira-perwira Maritim Malaysia yang tidak mengenal erti penat lelah
dalam menjalankan tugas.

Katanya, Eksesais Maritim Perkasa Timur yang telah bermula pada 28 Oktober lalu hingga 4 November ini merupakan eksesais gabungan elemen dalam mengukur kesiagaan dan keupayaan aset-aset Maritim Malaysia.

“Selain untuk menguji kecekapan pegawai dan anggota terlibat dalam merancang, melaksanakan eksesais serta operasi sebenar pada masa akan datang disamping memperagakan kehadiran di Laut China Selatan khususnya di perairan negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata, eksesais itu juga berteraskan konsep elemen cegah rintang yang merupakan salah satu teras strategik maritim melalui pencegahan pelanggaran undang-
undang di laut dengan menunjukkan kehadiran aset-aset Maritim Malaysia Di Zon Maritim Malaysia.

“Eksesais ini dilaksanakan merangkumi perairan Kota Kinabalu dan gugusan semarang peninjau di perairan negeri Sabah, Beting Patinggi Ali, Hampasan Dang Ajar dan Beting Raja Jarum hingga ke Perairan Kuching di perairan Negeri Sarawak” tegasnya.

Beliau yakin dengan gabungan sumber, keupayaan sedia ada dan koordinasi yang jitu, pelaksanaan eksesais itu akan berjaya membantu Maritim Malaysia mempertingkatkan keupayaan dan kecekapan sumber manusia serta kesiagaan aset-aset melindungi kepentingan Zon Maritim Malaysia dan memelihara kedaulatan negara khususnya di Laut China Selatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, eksesais ini melibatkan 652 orang pegawai dan anggota Maritim Malaysia dengan kekuatan 14 buah kapal.

Hamid bersama Mohd Rosli (kiri) dan Suhaimi (kanan) semasa sidang media.

Katanya, eksesais ini akan dapat mempertingkatkan keupayaan khusus pelaksanaan evolusi di laut untuk anggota kapal, pesawat dan pasukan mencari dan menyelamat agensi ini.

“Latihan berskala besar ini juga adalah untuk menguji kekuatan dan kemampuan Maritim Malaysia sekiranya berhadapan situasi sebenar ancaman jenayah di laut khususnya jenayah rentas sempadan.

“Ini sangat penting kerana negara kita ada banyak sumber seperti perairan Sabah terdapat industri petroleum, gas asli, aktiviti perikanan, perkapalan dan juga pelancongan,” jelas beliau pada sidang media selepas majlis pelancaran eksesais tersebut.

Hamid bersama Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dan Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Muda Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik turut menyertai eksesais tersebut.

Menurut Hamid, fasa terakhir bagi eksesais ini merupakan Fasa Pasca Eksesais. Pada fasa ini sesi post mortem dan rumusan akan dilaksanakan di Pejabat Maritim Negeri Sarawak pada 3 dan 4 November 2023.

RELATED ARTICLES
Utama

Sistem air minuman secara mudah alih, berkuasa solar berjaya dibangunkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular