HomeUtamaPeranti Starlink di Kampung Langsat pastikan penduduk nikmati Internet

Peranti Starlink di Kampung Langsat pastikan penduduk nikmati Internet

Read Time:1 Minute, 10 Second

Ranau: Peranti Starlink yang dipasang di Kampung Langsat merupakan langkah penyelesaian interim bagi memastikan penduduk di kampung berkenaan menikmati kemudahan internet.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, peranti tersebut telah ditempatkan di Masjid An-Nur kampung berkenaan sementara menunggu menara komunikasi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) siap dua tahun lagi.

“Peranti Starlink ini telah siap dipasang sejak dua bulan lalu dan boleh dicapai sehingga jarak 100 meter dengan kelajuan mencapai 200 Mbps.

“Ini kita lihat sebahagian daripada usaha untuk membantu rakyat terutama di kawasan yang sedang menunggu pembinaan menara telekomunikasi supaya penduduk sekitar dapat capaian internet.

“Saya difahamkan sebelum ini, sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ada kemudahan internet satelit di bawah ConnectMe iaitu di dalam sekolah tapi tak sampai di sini jadi, dengan ada Starlink ia boleh dimanfaatkan semua penduduk sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan ke Tapak Projek PoC Pemasangan Peranti Starlink di Kampung Langsat, di sini semalam.

Kampung Langsat yang terletak 26 kilometer dari Pekan Ranau merupakan lokasi kedua di Sabah selepas pemasangan peranti Starlink di Sekolah Kebangsaan Malaing di Keningau pada 5 September lalu.

Pemasangan peranti Satelit Starlink itu dilaksanakan bersama dengan Syarikat SummerNet Sdn. Bhd di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Antara yang mengiringi Fahmi, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah MCMC Sabah Izani Othman dan Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid.

RELATED ARTICLES
Utama

Pelbagai inisiatif pembangunan dilaksanakan melalui Hala Tuju SMJ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular