HomeSukanAndre, Nor Farah Olahragawan, Olahragawati Sabah

Andre, Nor Farah Olahragawan, Olahragawati Sabah

Read Time:2 Minute, 13 Second

Kota Kinabalu : Atlet lompat kijang Andre Anura @ Anuar dan pesilat negara Nor Farah Mazlan dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati bagi tahun 2021/2022 pada Anugerah Sukan Negeri Sabah yang berlangsung di sini semalam.

Majlis penganugerahan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri isterinya Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Antara pencapaian yang diperoleh Andre sepanjang tahun lalu adalah apabila berjaya memenangi pingat emas dalam acara lompat kijang pada Terbuka Pahang 2022 dan turut memenangi pingat emas pada kejohanan Southeast Asian Games Vietnam 2022.

Atlet berusia 23 tahun itu juga sebelum ini berjaya memecahkan rekod lompat jauh kebangsaan selama 12 tahun milik Josbert Tinus dengan lompatan 8.02 meter untuk meraih pingat perak pada kempen Sukan SEA ke-30 di Filipina pada 2019.

Andre ketika ditemui berkata, beliau tidak menjangka untuk terpilih sebagai Olahragawan bagi tahun 2021/2022 namun tetap bersyukur dengan kejayaan yang dicapai.

“Saya memang tidak jangka sebab 2021 saya kurang menyertai kejohanan di luar negara tapi pada tahun lalu banyak kejohanan saya sertai dan secara peribadi saya memang tidak jangka untuk terpilih sebagai Olahragawan Sabah,” katanya.

Sementara itu, antara pencapaian yang dicapai Nor Farah adalah apabila berjaya memenangi pingat Perak pada Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara kali ke-8 di Singapura pada 2022 dan bertanding menerusi kategori Puteri Kelas A.

Joachim menyampaikan anugerah kepada Wong Kar Gee

Selain itu, Nor Farah turut berjaya meraih pingat emas menerusi Kejohanan Pencak Silat Dunia kali ke-19 di MTC Melaka yang bertanding dalam kategori Puteri Kelas A pada tahun lalu.

Anak kelahiran Kota Belud itu sebelum ini juga berjaya menyumbang pingat emas pada Sukan Sea Kemboja 2023 baru-baru ini meskipun beraksi di pentas akhir bagi acara silat dalam keadaan dirinya mengalami kecederaan patah tiga jari.

Nor Farah ketika ditemui turut mengakui tidak menyangka terpilih sebagai Olahragawati Sabah apabila turut berdepan dengan beberapa calon lain.

“Tidak jangka sebab calon-calon juga ramai dan boleh tahan pencapaian mereka.  Harapan saya agar saya tidak leka dengan apa yang dicapai sekarang selain akan terus berusaha agar dapat mengekalkan momentum untuk mendapat emas dalam kejohanan besar akan datang,” katanya.

Joachim menyampaikan anugerah kepada Olahragawati Paralimpik Brendda Anellia Larry

Pada majlis itu, turut diumumkan beberapa anugerah lain antaranya anugerah Tokoh Sukan yang dianugerahkan kepada Allahyarham Aliudin Jumat; Olahragawan Paralimpik (Wong Kar Gee- Olahraga) dan Olahragawati Paralimpik (Brendda Anellia Larry- Renang).

Turut disampaikan Olahragawan Harapan yang dimenangi Muhammad Asnawi Iqbal Adam (Pelayaran) dan Olahragawati Harapan (Loo Yie Bing (Renang).

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Nguyen Anh Minh & Sieun Lee dinobatkan juara Kejohanan Golf Amatur...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular