HomeIsu tempatanZero Waste Sabah lancar Projek Pengurangan Plastik Inovatif di Pasar Tuaran

Zero Waste Sabah lancar Projek Pengurangan Plastik Inovatif di Pasar Tuaran

Read Time:2 Minute, 29 Second

TUARAN: Dalam usaha memerangi pencemaran plastik dan mempromosikan masa depan yang lestari, Zero Waste Sabah, dengan kerjasama daripada Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia, telah berjaya melancarkan sebuah projek pengurangan beg plastik di Pasar Tuaran.

Projek ini juga menandakan sebuah usaha terhadap model pekeliling dan pengurangan sisa plastik di daerah Tuaran.

Pengurus projek yang juga pengasas dan pengerusi Zero
Waste Sabah, Ruth Yap berkata, projek ini yang telah bermula pada 1 Mac 2023 merangkumi latihan untuk 110 penjaja pasar dalam Gaya Hidup Sisa Sifar, Pengeluaran dan Penggunaan Bertanggungjawab, dan Bandar dan Komuniti Lestari.

“Komitmen Zero Waste Sabah terhadap tanggungjawab alam sekitar kelihatan dengan usaha mendorong kerjasama antara Majlis Daerah Tuaran, CT Payung (Syarikat Pengurusan Pasar Ikan Tuaran), dan para penjaja lestari.

“Hasil daripada mesyuarat tersebut, mereka telah bersetuju untuk mengimplimentasikan sistem penyewaan baldi yang dicadangkan oleh Zero Waste Sabah yang bermatlamat untuk menghapuskan
penggunaan beg plastik sekali guna secara berperingkat di Pasar Tuaran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, pendekatan tersebut menggalakkan pembeli untuk menerima cara membeli-belah yang lebih mampan.

“Di bawah sistem baru itu, pelanggan digalakkan membawa beg guna semula mereka untuk membeli barang runcit dan baldi untuk membeli hasil tangkapan laut. Jika pembeli terlupa membawa beg atau baldi sendiri, mereka boleh menyewa baldi dengan harga RM5 dan beg RM2,” jelasnya.

Tambah beliau, sudah tiba masanya untuk memimpin rakyat kita
mengubah gaya hidup mereka daripada “budaya pakai buang” kepada “budaya guna semula”.

“Pakar pengurusan sisa lestari telah membuat kesimpulan bahawa kita tidak boleh bergantung hanya pada kitar semula untuk menyelesaikan masalah penghasilan sampah melampau yang kian meningkat.

“Insinerator pula bukan sahaja mahal untuk dioperasi, malah jika tidak diselenggara dan dipantau dengan ketat, ia mampu membahayakan kesihatan penduduk di sekitarnya.

“Insinerator juga bersaing dengan pusat kitar semula untuk bahan
yang sama. Jadi, cara yang lestari dan berwawasan adalah untuk mereka cipta produk dan sistem operasi yang menjana sisa yang paling minimum pada penghujung kitaran hayat produk dan proses mereka.

“Kita harus menumpukan usaha pada punca penjanaan sampah;
hentikan penjanaannya sebelum memikirkan cara untuk menguruskan hasil penjanaan
sampah,” tegasnya.

Menurut Ruth, salah satu ciri luar biasa projek ini ialah deposit baldi yang boleh dikembalikan.

“Pelanggan yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan baldi yang disediakan oleh CT Payung
boleh memulangkannya selepas menggunakannya pada hari lain dan menerima bayaran balik deposit mereka sebanyak RM4.

“Manakala RM1 akan digunakan untuk menguruskan baldi dan memastikan stok baldi sentiasa ada di pasar,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, Pegawai Daerah Hadzlan Jablee berkata, ini adalah sebuah inisiatif yang baik untuk alam sekitar.

“Plastik merupakan sejenis bahan yang amat berguna, tetapi penggunaannya secara tidak terkawal dan pengurusannya yang tidak bertanggungjawab juga telah mendatangkan masalah yang tidak boleh dinafikan.

“Plastik yang terlepas ke dalam alam sekitar boleh mengambil masa selama 500 tahun untuk terurai dan plastik akan pecah dan lerai menjadi mikroplastik. Mikroplastik pula mampu memasuki rantai makanan manusia,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Daerah Tuaran juga telah mengambil langkah proaktif untuk menyokong
inisiatif ini dengan mengusahakan penggubalan dasar polisi menyekat pengedaran beg plastik di Pasar Tuaran pada hari-hari tertentu.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Kursus Pertanian Fertigasi perkenal sistem penanaman moden, tingkat pendapatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular