HomeUtamaKKTP komited sokong usaha kurangkan kesan perubahan iklim

KKTP komited sokong usaha kurangkan kesan perubahan iklim

Read Time:3 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) terus komited dalam menyokong usaha mengurangkan kesan perubahan iklim yang terus menjadi agenda utama Kerajaan Negeri Sabah.  

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ini selaras dengan komitmen yang disuarakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucaptamanya pada Persidangan Antarabangsa Perubahan Iklim Sabah 2021.

“Di bawah Perjanjian Paris, Malaysia sendiri komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

“Maka, tindakan-tindakan perlu diambil sebagai sokongan kepada prinsip Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya ketika merasmikan Seminar Landskap 2023 bertemakan “Regreeneration: Living, Learning, and Growing Together” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.

Menyentuh tentang seminar ini, Dr. Joachim berkata, konteks Regreeneration bukanlah semata-mata tentang menanam pokok atau mewujudkan ruang hijau, sambil menjelaskan ia merupakan pendekatan holistik yang merangkumi living iaitu amalan kehidupan; learning  iaitu kebolehan belajar atau adaptasi terhadap persekitaran dan growing together iaitu memupuk amalan bersama agar berkembang sebagai satu masyarakat lestari.

“Ia adalah tentang kesalinghubungan antara manusia, alam semula jadi dan persekitaran. Kesan iklim yang kritikal yang berlaku hari ini adalah akibat daripada tindakan kita sendiri. Setiap tindakan kita, akan mendatangkan kesan baik positif dan negatif kepada masyarakat dan persekitaran.

“Oleh yang demikian, saya menyeru setiap daripada kita untuk mengambil tanggungjawab untuk sama-sama menjaga kesihatan dan kesejahteraan landskap persekitaran kita,” katanya.

Menurutnya, seminar hari ini adalah sebagai satu platform yang menyatukan para pembuat keputusan utama dasar dan pembuat perubahan agar meneroka langkah, peluang bagi mengubah amalan kita, memulih dan melestarikan biodiversiti persekitaran kita mengikut konteks fungsi bidang atau organisasi masing-masing.

“Amalan mengintegrasikan infrastruktur hijau dalam setiap komponen pembangunan fizikal akan dapat mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan lebih sesuai untuk tempat kita bekerja atau rumah untuk didiami.

“Elemen hijau ini menawarkan banyak faedah, bermula daripada meningkatkan kualiti udara hingga menggalakkan kesejahteraan fizikal dan mental. Kesihatan mental adalah suatu gejala yang amat serius di kalangan masyarakat sekarang,” ujarnya.

Dr. Joachim berkata, dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan Sabah merekodkan peratusan tertinggi di Malaysia bagi penduduk yang mengalami masalah kesihatan mental, manakala penyakit jantung kekal kematian utama di negara ini.

Oleh yang demikian, usaha mewujudkan persekitaran yang lebih sejahtera amat penting tidak hanya untuk dalam rumah, tambahnya.

“Usaha penghijauan ini perlu dimulakan seawal mungkin semasa peringkat konsep perancangan sebelum kelulusan Peringkat Kelulusan Pelan Pembangunan. Pada peringkat ini peranan professional atau pakar dalam seni bina landskap (Landscape Architecture) perlu diambil kira agar dapat memfokuskan kepada rekabentuk persekitaran luaran (External Spaces), pembinaannya, serta kerja-kerja berkaitan untuk memastikan kerja-kerja tersebut adalah bersesuaian dengan fungsi dan kegunaan (Function & Use) sesuatu kawasan.

“Menerusi integrasi elemen Hijau, barulah penyediaan Pelan Landskap menjadi sesuatu yang lebih signifikan kepada kesihatan persekitaran pengguna dan bukan sekadar dilihat sebagai planting plan atau sekadar penanaman pokok.

“Landskap bukan sekadar menanam pokok. Hijau yang dimaksudkan di sini tidak hanya terhad dengan mewujudkan ruang hijau atau taman, tapi elemen fizikal lain seperti taman atas bumbung, sistem penuaian air hujan, penggunaan bahan binaan mesra alam dan penjanaan tenaga boleh diperbaharui melalui sistem kecekapan tenaga solar.

“Keberkesanan langkah-langkah ini perlu seiring dengan mentaliti kita. Jika mentaliti kita masih cara lama, penyediaan itu ini yang disebutkan tadi hanya akan menjadi sia-sia. Membuat dasar hanya sekadar atas kertas. Tanpa sense of belonging, usaha untuk memupuk komuniti lestari tidak akan berjaya.

“Oleh yang demikian, usaha memupuk kesedaran melalui pelbagai program pendidikan, inisiatif penglibatan masyarakat, kempen dan banyak lagi cara yang dapat menonjolkan kepentingan persekitaran, nilai biodiversiti dan pengurusan tanah yang mampan,” katanya, sambil menyeru setiap organisasi untuk menganjurkan amalannya sendiri.

Beliau berkata, Kerajaan akan terus komited membentuk ‘tadbir urus pembangunan ke arah masyarakat berdaya huni’.

“Pentingnya kita menyentuh tentang tadbir urus Kerajaan dan pembudayaan masyarakat Hijau yang dapat membantu mewujudkan persekitaran tempat kita tinggal lebih sejahtera. Ianya sebagaimana yang dirangka di dalam Pembangunan Lestari (Sustainable Development), Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya, Dasar Landskap Negeri Sabah dan Inisiatif KKTP ke Arah Masyarakat Rendah Karbon.”

Menzahirkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Sektor Landskap dan Kelestarian KKTP yang sentiasa proaktif dalam menjayakan agenda penghijauan KKTP, beliau juga mengucapkan terima kasih khususnya kepada semua agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar yang turut serta menjayakan program ini.

Melalui hubungan kerjasama ini, beliau mengajak semua pihak untuk bersama-sama mengambil peranan dan memberi kerjasama dalam usaha mencapai sasaran ini demi menjaga kelestarian persekitaran kita.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr Jamili Nais, Timbalan Setiausaha Tetap I, Stanley Chong; Ketua Penolong Setiausaha (Landskap), LAr. Nurulhayati Awang More, semua Pegawai- pegawai Eksekutif, para kakitangan kementerian, guru-guru, murid serta pelajar sekolah.

RELATED ARTICLES
Utama

Pantau projek pemasangan menara telekomunikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular