HomeUtamaSabah perkasa peranan MHPSS dalam merawat isu kesihatan mental

Sabah perkasa peranan MHPSS dalam merawat isu kesihatan mental

Read Time:1 Minute, 6 Second

Kota Kinabalu :  Kerajaan Sabah menerusi pendekatan Sabah Maju Jaya (SMJ) telah memperkasa peranan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan dan Psiko-sosial (MHPSS) sebagai suatu pendekatan dalam merawat isu kesihatan mental.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perkhidmatan itu merupakan satu pasukan yang digerakkan Kerajaan bagi melindungi dan memperkenalkan kesejahteraan psiko-sosial dalam mencegah dan merawat kecelaruan mental.

“MHPSS membuktikan bahawa pendekatan yang  ditawarkan positif dalam merawat dan membantu masyarakat Sabah berikutan hampir 75 peratus panggilan yang diterima daripada keseluruhan panggilan adalah dalam kalangan individu yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

“Meskipun begitu, pendidikan kesihatan mental turut dijadikan sebagai sebuah keperluan dalam memberikan kefahaman yang tulen kepada masyarakat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan bulan kesejahteraan psikologi dan spiritual Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) di sini semalam.

Arifin berkata, melalui beberapa pendekatan yang bersifat proaktif, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah melahirkan dan melaksanakan beberapa inisiatif.

“Antaranya program saringan mental luar bandar, bual bicara dan promosi kesihatan mental peringkat sekolah.  Marilah kita bersatu hati dan berganding bahu dalam usaha mewujudkan masyarakat yang bebas dari sebarang isu kesihatan mental.

“Oleh yang demikian, tanggungjawab dalam memberikan sokongan dan dorongan yang dibincangkan bersama isu kesihatan mental haruslah diterjemah sebagai amanah dan hak sesama  insan,” katanya. – SABAH MEDIA / PEJABAT MENTERI KSTI

RELATED ARTICLES
Utama

74 Gereja di Tongod Terima Sumbangan Sempena Hari Natal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular