Sabah peruntuk RM4.2 juta laksana projek dan pembangunan wanita di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 17 Second

Tawau : Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4.2 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dalam Belanjawan Negeri 2023 untuk melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita di Sabah.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag berkata, antara program dan projek yang dilaksanakan oleh jabatan itu ialah Program Keusahawanan Ibu Tunggal, Projek Pembangunan Keusahawanan Wanita dan lain-lain.

Katanya, program dan projek itu menyasarkan golongan ibu tunggal, wanita berkahwin berpendapatan rendah dalam kategori B40 dan usahawan wanita.

“Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan Madani 2023 turut memperuntukkan beberapa dana pembiayaan bagi membantu usahawan wanita, antaranya kemudahan pinjaman daripada pelbagai agensi kewangan dengan dana tersedia sebanyak RM1.7 bilion.

“Sebagai contoh, Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan dana sebanyak RM300 juta untuk menyokong perniagaan mikro yang diusahakan oleh usahawan wanita dan belia, manakala pinjaman lebih RM1 bilion ditawarkan kepada PKS mikro dan penjaja yang bertujuan membantu meringankan beban para usahawan wanita.

“Kerajaan amat prihatin terhadap pembangunan wanita di negeri ini dan sentiasa berusaha serta mencari jalan memperkasakan ekonomi wanita dalam bidang keusahawanan”, katanya ketika merasmikan penutupan Program Keusahawanan Jhewanita Tahun 2023 di Dewan Masyarakat Majlis Perbandaran Tawau (MPT) di sini semalam.

Program Keusahawanan dianjurkan JHEWA itu disertai oleh seramai 350 orang peserta terdiri daripada para peserta kursus kemahiran dan usahawan wanita dari sekitar daerah Tawau.

Juliah berkata, Kerajaan Negeri menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) juga menyediakan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan golongan usahawan di negeri ini dan usahawan wanita perlu merebut peluang dan memanfaatkan bantuan dan pinjaman yang telah disediakan oleh kerajaan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Katanya, keusahawanan yang diceburi oleh kaum wanita amat luas meliputi keusahawanan digital, makanan dan hospitaliti, industri kreatif, teknologi, sektor kecantikan dan banyak lagi.

“Sebab itu kaum wanita kini dilihat lebih aktif terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan. Mereka telah memainkan peranan penting dalam dunia perniagaan, mencipta inovasi, dan pelbagai bidang yang lain.

“Walaupun usahawan wanita sering menghadapi cabaran yang unik, termasuk isu ketidakseimbangan bidang kerjaya dan keluarga, namun ia bukan penghalang untuk berjaya kerana banyak sokongan dan rangsangan telah diberikan untuk menyokong keusahawanan wanita. Wanita juga telah membuktikan kebolehan mereka untuk mencipta kejayaan dalam bidang perniagaan, bukan sahaja di negeri Sabah malah di seluruh Malaysia,” katanya.

Juliah juga menyarankan para usahawan menyertai kursus, seminar atau program latihan berkaitan bidang keusahawanan bagi meningkatkan kemahiran, ilmu dan pengetahuan berkaitan perniagaan dan keusahawanan serta menjadikan usahawan yang berjaya sebagai tauladan, inspirasi dan wawasan bagi mengecapi kejayaan dalam bidang itu.

“Sebagai seorang wanita, kita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pembentukan generasi akan datang, malah turut menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Justeru, saya sentiasa menyokong dan mengharapkan kejayaan para usahawan wanita di negeri Sabah, agar setanding dengan kejayaan usahawan- usahawan terkemuka yang berjaya menempah nama dan kejayaan dalam bidang perniagaan yang diceburi,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *