HomeSukanNelson Chui pecah rekod kebangsaan di Kejohanan Johor Powerlifting Open Vol.1 2023

Nelson Chui pecah rekod kebangsaan di Kejohanan Johor Powerlifting Open Vol.1 2023

Read Time:2 Minute, 43 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Atlet sukan ‘powerlifting’ negara, Nelson Chui Chee Chung meraih pingat emas sekali gus memecah rekod kebangsaan di Kejohanan Johor Powerlifting Open (JPO) Vol.1 2023 yang berlangsung di Johor pada 28 Oktober lalu.

Nelson Chui anak jati Sabah, berusia 39 tahun itu memecah rekod kebangsaan dalam acara deadlift dengan angkatan seberat 300 kilogram (kg) bagi kategori 120+kg Men’s Open di kejohanan JPO dan mengalahkan 14 peserta lain.

Nelson Chui ketika dihubungi Sabah Media hari ini berkata, beliau kembali beraksi selepas kali terakhir mewakili Malaysia menyertai powerlifting peringkat antarabangsa iaitu Asian Classic Powerlifting Championship (ACPC) 2019 di Almaty Kazakhstan dengan catatan rekod angkatan keseluruhan seberat 765 kg bagi kategori 120+kg Men’s Open seterusnya melayakkan beliau berada pada kedudukan kedua teratas dan menerima pingat perak, manakala tempat pertama disandang atlet dari negara Iran Mafi Gholami Mahdi dan ketiga Vickramjeet Singh dari India.

Mafi Gholami Mahdi (Iran) (tengah) diapit oleh Nelson Chui (Malaysia) (kanan) dan Vickramjeet Singh (India) semasa menerima pingat masing-masing di kejohanan ACPC 2019 di Almaty, kazaksthan.
Nelson Chui raih pingat perak di kejohanan ACPC 2019, Almaty, Kazaksthan. – Foto ihsan Nelson Chui

Pada kejohanan sama di ACPC 2019, Nelson Chui turut meraih dua pingat gangsa dalam acara squat dan deadlift.

Dalam pada itu, minat yang mendalam terhadap sukan lasak ini tidak mematahkan semangat Nelson Chui yang pernah mengalami kecederaan kaki dan lengan yang serius akibat kemalangan pada tahun 1992, 2006 dan 2009.

“Saya pernah mengalami kemalangan sebanyak dua kali menyebabkan tulang paha dan tulang humerus saya patah iaitu sekitar tahun 1992, 2006 dan 2009. Pada ketika itu doktor kata saya dikategorikan dalam golongan ‘cacat’.

“Pada 2006, tangan saya patah semasa menyertai acara gusti tangan di Pesta Kaamatan.

“Itu semua tidak sama sekali mematahkan semangat saya. Malah saya tidak hirau apa kata doktor, pada 2011 atas cadangan seorang kawan, saya menyertai sukan powerlifting ini. Saya sama sekali tidak melihat kepada kecacatan lengan saya malah kesihatan saya bertambah baik sejak saya menyertai sukan ini,” katanya dengan bersemangat dan menyatakan akan meningkatkan kebolehannya melalui sukan ini ke peringkat lebih tinggi, bukan sahaja di Sabah tetapi peringkat dunia.

Menurut Nelson Chui, powerlifting ialah sukan yang semakin diiktiraf dan berdaya saing. Ia terdiri daripada tiga kali percubaan mengangkat berat yang maksimum iaitu angkatan jenis sequence-squat, bench press dan deadlift.

“Saya dapat rasakan sukan ini juga adalah sebagai latihan utama dalam pembangunan kekuatan sebenar seseorang individu, ia juga banyak menyumbang kepada kesihatan tubuh serta kesejahteraan umum,” ujarnya.

Nelson Chui yang juga bekerja sebagai Juru Ukur bahan (Pembinaan) di salah sebuah syarikat di sini berkata, beliau berminat dalam sukan angkat berat sejak di usia remaja lagi.

“Pada ketika itu saya berumur 15 atau 16 tahun menyertai sukan angkat berat di peringkat Sekolah Menengah tetapi malangnya saya tidak dapat beraksi dengan baik, ia tidak sesuai dengan saya,” katanya.

Dalam pada yang sama, Nelson Chui bersyukur dengan penglibatannya dalam sukan powerlifting menjadikan beliau lebih berdisiplin terhadap penjagaan kesihatan tubuh badan.

“Saya pernah melakukan deadlift 200kg, saya dengar ada bunyi retak di lengan saya, saya fikir lengan saya telah rosak teruk tetapi sangkaan saya salah malah ia membantu meluruskan semula lengan saya.

“Susulan dari kejadian itu, kini saya bertambah yakin, sukan powerlifting merupakan terapi yang paling baik sebagai senaman pemulihan dan juga penjagaan kesihatan,” kongsinya.

RELATED ARTICLES
Utama

Jemaah haji diharap jadi duta promosi TH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular