HomeIsu tempatanPenganjuran kursus asas penanaman cendawan bantu tingkat ekonomi penduduk

Penganjuran kursus asas penanaman cendawan bantu tingkat ekonomi penduduk

Read Time:1 Minute, 39 Second

Tamparuli : Penganjuran kursus asas penanaman cendawan dalam kalangan komuniti khususnya di luar bandar mampu membantu meningkatkan pendapat dan ekonomi masyarakat setempat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, ini kerana para peserta mampu menambah pengetahuan baharu khususnya dalam pembuatan produk makanan berkaitan.

“Justeru saya berharap agar para peserta yang terlibat dapat mengaplikasikan ilmu yang diperolehi bagi menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi setempat.

“Sudah pasti melalui kursus ini juga para peserta dapat meneroka suatu bidang baharu dengan lebih mendalam serta menambah pengetahuan dalam pembuatan produk makanan berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Asas Penanaman Cendawan anjuran bersama Nurfirdaus Mushroom Village, e-Desa Topokon dan Atukoifm di Kampung Rongolis, di sini semalam.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, peluang mendapat kursus seumpama itu harus dimanfaatkan sebaiknya bagi menjana pendapatan dan mampu mengubah kehidupan keluarga sekiranya dibuat secara serius.

“Walaupun hanya belajar asasnya, saya percaya bahawa ini banyak ilmu yang sudah dikongsikan oleh pihak professional dari Nurfirdaus Mushroom Village.

“Ini sedikit sebanyak dapat membantu mengorak langkah anda semua ke arah menjadi seorang usahawan cendawan yang berjaya,” katanya.

Menurut Jahid, ilmu menanam cendawan ini semakin berkembang atas usaha kerajaan menerusi Jabatan Pertanian dan syarikat-syarikat persendirian, juga penglibatan agropreneur yang terus memajukan industri ini sebagai salah satu bidang potensi tanaman baharu di Malaysia. 

“Justeru, sesungguhnya kamu tidak salah untuk memilih kursus ini, malah ini merupakan satu peluang keemasan untuk menimba seberapa banyak ilmu di dada,” katanya.

Beliau juga memuji usaha Nurfirdaus Mushroom Village atas idea menghasilkan produk hiliran sendiri berasaskan cendawan seperti kerepek bagi menjana pendapatan dan mengkomersilkan produk mereka.

“Semoga program yang dilaksanakan ini akan memberi manfaat dan membantu komuniti membangunkan diri dan keluarga melalui khidmat kepakaran Nurfirdaus Mushroom Village,” katanya.

Terdahulu, Yatimah Razimin, dari e-Desa Topokon memberitahu, para peserta telah mendapat banyak ilmu dalam bidang penanaman, penjagaan, pemasaran dan teknik mengembangkan perusahaan cendawan.

Pada program tersebut, para peserta telah menerima sejumlah 50 bongkah cendawan secara percuma daripada pihak Nurfirdaus Mushroom Village.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular