HomeSukanPiala AFC : Sabah tepati ramalan, belasah Hai Phong 4-1

Piala AFC : Sabah tepati ramalan, belasah Hai Phong 4-1

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu : Sabah FC berjaya mengubati kekalahan di tangan Hai Phong FC di Vietnam bulan lalu selepas membelasah pasukan itu 4-1 pada aksi perlawanan kedua Kumpulan H, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Likas, malam ini.

Kemenangan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu turut menepati ramalan apabila menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri bagi mengutip mata penuh.

Kim Swee sebelum ini menyuarakan harapannya untuk mendapatkan keputusan yang positif menerusi kelebihan bermain di Likas untuk memperbaiki kedudukan Sabah FC dalam saingan Piala AFC kali ini.

Sebaik wisel pertama ditiup, pasukan pelawat hampir berjaya menjaringkan gol pertama seawal minit kedua menerusi percubaan pemain tengah Hai Phong, Nguyen Huu Son yang hanya berdepan satu lawan satu dengan Khairul Fahmi Che Mat namun percubaannya tersasar di tepi gawang.

Pasukan pelawat turut mendapat peluang melakukan cubaan berbahaya pada minit ke-11, sekali gus menyaksikan Hai Phong lebih menguasai perlawanan pada awal babak pertama.

Situasi permainan berubah apabila pemain Sabah, Daniel Ting berjaya menjaringkan gol pertama skuad Badak pada minit ke-20 selepas menerima bola hantaran Stuard Wilkin.

Kehadiran penyokong lebih 7,000 orang terus terubat apabila penyerang tuan rumah Darren Lok berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran Saddil Ramdani pada minit ke-33 menjadikan Sabah mendahului 2-0.

Kedudukan itu memberi kelebihan kepada Sabah hingga wisel penamat babak pertama dibunyikan termasuk masa tambah tiga minit yang diberikan pengadil.

Babak kedua bermula, Sabah berjaya menambah satu lagi gol menerusi serangan balas yang berjaya dimanfaatkan melalui tandukan Gabriel Peres pada minit ke-69 sekali gus meletakkan Sabah di hadapan dengan 3-0.

Namun, pasukan pelawat yang belum mahu mengaku kalah masih berusaha melakukan serangan sehingga berjaya mendapat gol tunggal menerusi tandukan penyerang Hai Phong, Yuri Souza Almeida pada minit ke-84 menjadikan kedudukan berubah kepafa 3-1.

Hasrat Hai Phong untuk menambah jaringan tidak kesampaian apabila Sabah FC berjaya menambah gol keempat pada minit ke-94 menerusi Muhamad Jafri Chew yang dibawa masuk pada separuh masa kedua untuk membantu pasukan.

Sabah FC kini kembali memintas Hai Phong untuk berada di tangga teraras carta Kumpulan H, Piala AFC – SABAH MEDIA/  FOTO AFC CUP

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah luluskan peruntukan RM12.24 juta naik taraf kemudahan Stadium Likas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular