HomeUtamaMalaysia menang lagi kes tuntutan Sulu, matikan gerakan rampas aset negara -...

Malaysia menang lagi kes tuntutan Sulu, matikan gerakan rampas aset negara – Azalina

Read Time:3 Minute, 36 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur : Malaysia melakar kejayaan lagi selepas menang di Mahkamah Perancis dalam kes tuntutan Kumpulan Sulu, sekali gus mematikan gerakan mereka untuk merampas aset diplomatik Kerajaan Malaysia. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pada 6 Nov lepas, Mahkamah Perancis telah membatalkan perintah bagi gadai janji berkanun yang dibuat terhadap bangunan diplomatik Malaysia di Paris oleh penuntut warga Filipina (Kumpulan Sulu).

Beliau berkata hari ini juga, mahkamah sama telah merekod penarikan balik oleh pihak penuntut warga Filipina bagi prosiding rampasan aset terhadap bangunan diplomatik Kerajaan Malaysia yang sama.

“Kesimpulannya keputusan pada 6 dan 9 Nov ini membolehkan keputusan membebaskan kerajaan Malaysia daripada cubaan tidak sah oleh warganegara Filipina itu untuk merampas aset diplomatik Malaysia di Perancis secara menyeluruh.

“… mereka gagal dalam menyentuh hak milik harta Malaysia dan kita tidak sama sekali boleh bersikap tolak ansur ke atas tuntutan tidak sah ini,” katanya ketika temu ramah bersama media yang diadakan secara dalam talian.

Azalina kini berada di London, untuk fasa ketiga tuntutan lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu, bagi berjumpa dengan peguam-peguam lantikan Kerajaan Malaysia dalam menangani tuntutan mereka, seterusnya menyangkal taktik dan hujahan mereka secara komprehensif. 

Azalina berkata kesimpulannya keputusan pada 6 dan 9 Nov ini mematikan gerakan warga Filipina ini untuk merampas aset diplomatik kerajaan Malaysia di Paris.

“Kerajaan Malaysia sentiasa akan memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara secara menyeluruh dilindungi setiap masa oleh kerajaan Perpaduan MADANI,” katanya.

Sementara itu Azalina dalam kenyataan berkata kemenangan Malaysia pada 6 Jun lepas dalam rayuan terhadap pelaksanaan apa yang dipanggil award separa mengenai bidang kuasa, membawa kepada penarikan balik langkah-langkah yang didaftarkan oleh Kesultanan Sulu (‘Pihak Menuntut’) yang telah lama tidak berfungsi terhadap bangunan diplomatik milik Malaysia di Paris, Perancis.

Beliau berkata Malaysia telah mencabar langkah-langkah itu atas alasan imuniti, khususnya imuniti premis diplomatiknya seperti yang diiktiraf di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

“Pada 6 November 2023, hakim penguatkuasa Paris membatalkan perintah ex parte terdahulunya yang membenarkan gadai janji berkanun didaftarkan di tiga bangunan diplomatik milik Malaysia di Paris.

“Hakim menetapkan ia tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan langkah sedemikian dan mengarahkan Pihak Menuntut membayar 15,000 euro kepada Malaysia sebagai kos,” katanya.

Azalina seterusnya berkata Pihak Menuntut mengesahkan bahawa mereka kini akan mengeluarkan gadai janji berkanun dan perintah kos itu adalah tambahan kepada perintah kos kesan buruk 100,000 euro yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris dalam keputusan 6 Jun yang memihak kepada Malaysia, yang telah menolak pengiktirafan anugerah separa bertarikh 25 Mei 2020 di Perancis.

Beliau berkata Malaysia sedang mengambil langkah yang perlu untuk memastikan kos kesan buruk itu juga dibayar secepat mungkin oleh Pihak Menuntut atau pembiaya litigasi mereka, Therium.

Beliau berkata hari ini (9 Nov) sebagai hasil selanjutnya daripada keputusan 6 Jun, hakim penguat kuasa Paris merekodkan penarikan diri Pihak Menuntut daripada prosiding yang telah mereka mulakan untuk merampas bangunan diplomatik yang dinyatakan.

“Malaysia telah berjaya melindungi kepentingannya di seluruh dunia, termasuk di Perancis (apa yang dipanggil anugerah akhir sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) dikatakan telah diberikan oleh penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa).

“Mulai hari ini, sama ada anugerah separa atau apa yang dikatakan anugerah akhir, tidak boleh dikuatkuasakan di Perancis – pengiktirafan dan penguatkuasaan yang terdahulu telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan Paris dalam keputusannya pada 6 Jun 2023 dan penguatkuasaan kemudiannya telah ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan Paris sementara menunggu keputusan prosiding pembatalan,” katanya.

Azalina berkata selaras dengan perkembangan ini, Kerajaan Malaysia yakin bahawa pembatalan muktamad anugerah akhir yang dikatakan oleh Mahkamah Rayuan Paris itu hanyalah menunggu masa, dan kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan keputusan itu secepat mungkin.

Malaysia telah menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkan anugerah yang diberikan oleh Stampa kepada pihak yang menuntut di mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg, dan Belanda.

Malaysia memperoleh satu lagi kemenangan apabila Mahkamah Rayuan The Hague pada 27 Jun, menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan anugerah terakhir di negara itu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan anugerah terakhir, kumpulan Sulu dilaporkan telah cuba merampas aset syarikat petroleum Malaysia, Petronas di Luxembourg dan Belanda, serta menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk kedutaan).

Pada 2019, kumpulan itu dilaporkan telah mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878. BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Portal SSMJ, Pelan Strategik SMJ 2023-2025 dilancar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular