HomeUtamaSemua PKOB daerah diarah untuk diaktifkan

Semua PKOB daerah diarah untuk diaktifkan

Read Time:2 Minute, 2 Second

Kota Kinabalu : Semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah telah diarahkan untuk diaktifkan bagi tujuan pemantauan dan koordinasi pengurusan bencana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) juga telah diminta untuk melaksanakan persediaan sewajarnya lebih awal bagi memastikan penyampaian bantuan sewaktu bencana berjalan dengan lancar. 

Katanya, secara keseluruhan, seramai 61,839 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi Kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset. 

“Selain itu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah mula beroperasi 24 jam setiap hari selaras dengan pengurusan banjir menjelang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Sabtu ini.

“NDCC akan menyediakan notis serta-merta kepada syarikat-syarikat telekomunikasi bagi tujuan sebaran SMS dan Flash Broadcast secara bersasar kepada penduduk di kawasan yang berhadapan dengan risiko banjir setelah menerima amaran banjir daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Armizan berkata, JPS telah mengenalpasti sebanyak 5,648 lokasi hotspot banjir meliputi 161 buah daerah di seluruh negara. 

Katanya, pada masa yang sama, NDCC akan sentiasa berkongsi info terkini dan amaran bencana kepada pelbagai pihak termasuk juga Pegawai Daerah selaku Pengerusi JPBD dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana. 

“Semua pihak dinasihati untuk sentiasa peka dengan situasi semasa dan amaran yang dikeluarkan pihak berwajib. Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, orang awam turut diminta untuk mematuhi sebarang arahan untuk berpindah dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat sahih mengenai ramalan cuaca dan amaran banjir terkini dengan mengakses laman web METMalaysia www.met.gov.my dan JPS https://publicinfobanjir.water.gov.my/ramalan/amaran-banjir/ atau  melalui media sosial rasmi jabatan serta memuat turun aplikasi mobil myCuaca dan MyPublic Infobanjir. 

Sebelum itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan MTL akan bermula Sabtu ini sehingga Mac 2024. 

Sepanjang tempoh ini, negara dijangka mengalami sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang berpotensi mengakibatkan kejadian banjir khususnya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak. 

Selain itu, untuk tempoh Februari hingga Mac 2024, dijangkakan negeri-negeri utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia, Sabah, utara Sarawak dan Labuan  diramalkan mengalami kekurangan jumlah taburan hujan.  – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular