Enam KIR terlibat kebakaran terima bantuan Perdana Menteri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

Kota Belud : Enam ketua isi rumah (KIR) yang terlibat dengan kebakaran di Kampung Pirasan di sini baru-baru ini menerima bantuan berjumlah RM50,000 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bantuan itu disampaikan Setiausaha Politik Kanan Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

“Pada hari ini (semalam), saya bersama pegawai dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) mewakili Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran.

“Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Madani khususnya Perdana Menteri kepada rakyat yang menghadapi musibah. Saya juga berterima kasih kepada pihak-pihak lain yang berbesar hati membantu mangsa khususnya kerajaan negeri,” katanya kepada media di sini, Rabu lalu.

 Sementara itu, mangsa, Siti Noorlizawana Shandrawan Jailin, 38, yang kehilangan rumah warisan berusia 37 tahun mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas bantuan yang dihulurkan.

“Kami amat berbesar hati dan rasa terharu di atas kesanggupan wakil Perdana Menteri untuk datang sendiri ke sini dan menyerahkan bantuan pada hari ini.

“Bantuan ini akan kami guna untuk menambah ruang dalam rumah baharu yang dibina hasil sumbangan rakan-rakan, saudara mara dan wakil rakyat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 30 September lalu, litar pintas telah mengakibatkan sebuah rumah yang didiami 25 orang daripada enam keluarga hilang tempat tinggal.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *