HomeSukanPiala AFC : Kim Swee mahu pemain kekalkan disiplin permainan

Piala AFC : Kim Swee mahu pemain kekalkan disiplin permainan

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu : Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya terus mengekalkan momentum khususnya dari segi disiplin pemain dalam keseluruhan permainan bagi menghadapi dua lagi perlawanan Kumpulan H, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Meskipun berjaya menewaskan Hai Phong FC dari Vietnam 4-1 di Stadium Likas semalam, Kim Swee berkata, pasukannya tidak akan mengambil mudah cabaran berdepan PSM Makasar FC dari Indonesia dan Hougang United FC dari Singapura.

“Seperti saya katakan sebelum perlawanan (malam tadi) bermula, perlawanan ini amat penting dan jika kita berjaya mendapatkan kemenangan seperti kita lakukan pada malam ini (malam tadi), kalau kita lihat dari segi kumpulan, sudah tentu kita mempunyai peluang yang baik.

“Tapi kita masih lagi ada dua perlawanan di mana saya percaya PSM Makasar  juga ingin mendapatkan tempat kedua terbaik. Jadi kita tidak boleh mengambil mudah sama ada PSM Makasar atau Hougang selepas ini.

“Kita perlu kekalkan momentum terutama dari segi disiplin pemain dalam keseluruhan permainan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Sabah FC menentang Hai Phong FC dari Vietnam di Stadium Likas, malam tadi.

Kemenangan 4-1 malam tadi membolehkan Sabah mengumpul sembilan mata untuk merampas takhta carta Kumpulan H Piala AFC 2023 daripada pasukan Hai Phong.

Kim Swee berkata, sepanjang permainan malam tadi, anak buahnya menunjukkan disiplin yang baik dan berjaya mengekalkan momentum permainan sepanjang perlawanan bagi menghalang kemaraan lawan terutama pada babak kedua.

“Saya percaya pemain menunjukkan disiplin yang cukup baik ketika kita berjaya mendapatkan gol dan terus kekal dengan momentum. Kita tahu pada separuh masa kedua di mana pasukan Hai Phong ketinggalan mereka akan datang dengan corak serangan.

“Tapi, apabila Gary (Gary Steven Robbat) masuk ganti Darren (Lok), kita dapat ‘balance’ di bahagian tengah, jadi pemain melakukan tugas yang cukup baik pada malam ini (malam tadi),” katanya.

Sabah FC akan ke Singapura untuk perlawanan kedua menentang Hougang United FC pada 30 November ini dan melayan PSM Makasar yang akan bertandang ke Stadium Likas pada 14 Disember depan. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah luluskan peruntukan RM12.24 juta naik taraf kemudahan Stadium Likas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular