HomeUtama"Geng Lele" penjenayah tegar pecah rumah tumpas

“Geng Lele” penjenayah tegar pecah rumah tumpas

Read Time:4 Minute, 8 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan kumpulan dikenali sebagai “Geng Lele” dipercayai terlibat dan bergiat aktif melakukan jenayah pecah rumah pada waktu siang di sekitar Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, Geng Lele juga giat melakukan jenayah pecah rumah bukan sahaja di Kota Kinabalu tetapi juga di daerah-daerah lain seperti Penampang, Papar dan Beaufort.

“Geng ini diketuai oleh seorang warga tempatan lelaki berumur 28 tahun bersama dua individu lelaki seorang berbangsa Cina dan seorang warga Filipina.

“Siasatan lanjut yang dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek, mereka telah mengaku terlibat dalam kes pecah rumah dan curi serta melakukan jenayah itu di daerah Kota Kinabalu (Luyang lapan kes, tiga kes Tanjung Aru dan satu kes di Kota Kinabalu).

“Selain itu, siasatan juga mendapati kumpulan ini turut melakukan masing-masing satu kes di daerah Papar dan Beaufort manakala dua kes lagi di daerah Penampang,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu hari ini.

Menurut Mohd zaidi, pihak polis telah menerima satu laporan pada 27 Oktober 2023 jam 6.14 petang yang dibuat oleh pengadu iaitu seorang ahli perniagaan yang menyatakan bahawa kediamannya telah dimasuki pencuri dan sebuah peti besi yang diletakkan didalam bilik tingkat atas rumahnya yang mengandungi wang tunai, beberapa barang kemas serta dokumen penting telah dilarikan oleh suspek. Anggaran kerugian lebih kurang RM60,000.

“Siasatan awal mendapati semasa kejadian pengadu tidak berada di rumah, namun kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bahagian dalam dan luar rumah pengadu telah berjaya merakam kelibat serta perbuatan suspek semasa kejadian.

“Hasil siasatan dan risikan berterusan yang dibuat oleh polis dari IPD Kota Kinabalu, pada 6 November 2023 lebih kurang jam 7.30 malam telah berjaya menumpaskan kumpulan ini yang dipercayai terbabit dalam kes tersebut dengan tertangkapnya suspek seramai dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara Filipina baru-baru ini.

“Serbuan turut berjaya merampas barang- barang yang dipercayai hasil kegiatan jenayah (pecah rumah/curi) yang dilakukan oleh kumpulan ini selama hampir tiga bulan yang mana dianggarkan kerugian yang dialami oleh kesemua mangsa bagi keseluruhan kes iaitu 12 kes berjumlah lebih kurang RM336,000 ribu dan melibatkan wang tunai berjumlah RM37, 950.00.

“Kumpulan ini didapati bergiat aktif dalam melakukan jenayah pecah rumah dan kes ceroboh di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar dan Beaufort sejak bulan September 2023, ” katanya.

Mohd Zaidi berkata, suspek seorang lelaki tempatan yang ditangkap dipercayai ketua kumpulan tersebut dikenali dengan nama panggilan “Lele” yang berperanan sebagai perancang serta pencuri semasa melakukan jenayah pecah rumah.

“Hasil semakan mendapati, ketua kumpulan ini mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan tiga kes penyalahgunaan dadah, dua kes samun dan satu kes curi,” katanya.

Jelas beliau, modus operandi kumpulan ini adalah dengan berpura-pura memberi salam, mengetuk pintu/pagar rumah atau membunyikan loceng rumah mangsa dan sekiranya tidak ada penghuni yang keluar, suspek akan memecah masuk rumah tersebut dan mencuri barang- barang yang berharga.

“Kumpulan ini biasanya menaiki motosikal semasa melakukan jenayah di sekitar Kota Kinabalu dan akan menyewa kereta sekiranya ke daerah luar,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, katanya, hasil barang kemas yang dicuri akan dijual atau digadai di kedai emas di sekitar Kota Kinabalu dan buat masa ini sebanyak enam buah premis telah dikenal pasti sebagai pembeli barangan curi tersebut.

“Hasil dari soal siasat yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek yang telah ditangkap, pihak polis telah membuat sembilan tangkapan susulan yang merupakan penjaga premis-premis pajak gadai, penjaga pengurup berlesen dan pembeli barang yang dicuri oleh suspek.

“Polis Kota Kinabalu juga telah membuat pemeriksaan di beberapa premis sekitar Kota Kinabalu iaitu lima premis pajak gadai, masing-masing satu premis pengurup wang berlesen dan bilik sewa yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan kegiatan kumpulan ini sebagai tempat menjual atau menggadai dan membuat tukaran wang asing,” katanya.

Katanya, turut dirampas dari premis berkenaan adalah resit pajak gadai dan buku daftar pajak gadai untuk siasatan lanjut. Jumlah anggaran keseluruhan barang kes yang berjaya dirampas semula setakat ini adalah sebanyak RM16,000.

“Pihak Polis Kota Kinabalu turut membuat rampasan semula barang kes melibatkan 11 item barang kemas, dua buah komputer riba, dua utas jam tangan, sekeping replika note RM100 berwarna kuning keemasan, dua bentuk amulet kekuningan dan seutas rantai kekuningan. Turut dirampas sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah.

“Buat masa ini, pihak polis masih meneruskan siasatan dan sedang giat untuk mengesan seorang lagi rakan kumpulan ini yang masih bebas yang dikenali dengan nama panggilan “Musa”.

“Pihak Polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu masih menjalankan siasatan lanjut dan akan membuat beberapa siri rampasan barang kes berdasarkan pendedahan daripada kumpulan suspek yang telah ditangkap,” tambah Mohd Zaidi.

Menurutnya, hukuman bagi kesalahan jenayah pecah rumah yang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan mencuri kali kedua atau seterusnya maka akan dikenakan hukuman denda atau sebat.

“Manakala bagi kesalahan pencerobohan rumah akan dihukum penjara selama tempoh sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau dengan kedua-duanya sekali,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular