Membakut: Pembinaan kompleks sukan mini di daerah ini menjadi antara perancangan bagi memastikan masyarakat setempat memperoleh manfaat khususnya dalam bidang sukan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perancangan itu adalah selaras dengan kewujudan Membakut sebagai sebuah daerah penuh di negeri ini.
“Kita ada cadangan tapi insyaAllah satu masa nanti kita akan mendapat juga apa yang kita cita-citakan. Itu antara perancangan kita selaras dengan kewujudan Membakut sebagai daerah penuh.
“Mudah-mudahan kita juga layak untuk menerima sekurang-kurangnya kompleks sukan mini daripada Kerajaan dan kemudahan sukan lain, itulah antara perancangan dan keutamaan kita untuk masyarakat di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan kejohnan Bola Sepak sembilan sebelah Piala Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah di sini hari ini.
Mengulas mengenai penganjuran kejohanan itu, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, kejohanan yang diadakan itu dilihat sangat baik dan berupaya mencapai objektif yang digariskan penganjur.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah atas penganjuran kejohanan ini dan mudah-mudahan ia akan dapat mencapai objektif yang digariskan oleh gabungan ini iaitu mengabungkan muafakat diantara belia-belia melalui sukan bola sepak.
“Ini juga sekaligus dapat mengasah dan mncungkil bakat dikalangan belia dalam bidang bola sepak kerana bola sepak ini menjadi salah satu bidang sukan yang menjadi fokus kepada semua termasuk di Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA