Gangguan bekalan disebabkan harga gula mentah tinggi di pasaran antarabangsa – Armizan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 54 Second

BERNAMA

PITAS: Gangguan bekalan gula yang berlaku di Sabah serta beberapa kawasan di negara ini antara lain disebabkan harga gula mentah di pasaran antarabangsa yang tinggi, kata Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Bagi mendepani isu itu, beliau berkata kerajaan meluluskan permit import (AP) kepada 43 syarikat bagi membawa masuk 557,080 tan metrik gula supaya bekalan untuk rakyat sentiasa stabil tetapi hanya 22,547 tan metrik atau 4.05 peratus dapat dibawa masuk sehingga Khamis lepas.

Beliau berkata kenaikan harga gula mentah sebanyak 52 peratus di peringkat antarabangsa pada masa ini menyebabkan peningkatan kos pengeluaran kepada pengilang tempatan namun pada masa sama harga gula dikawal oleh kerajaan.

“Mengelak kerugian berterusan mereka (pengilang tempatan) kurangkan pengeluaran menyebabkan gangguan bekalan gula (di pasaran tempatan) dan mereka merayu harga dinaikkan tetapi kerajaan belum ambil keputusan…kerajaan kaji unjuran harga gula antarabangsa dan dijangka meningkat.

“Jadi pendekatan kita sejak awal tahun ini kita buka AP import, malangnya jumlah gula dibawa masuk itu rendah, isunya kembali tidak mampu bawa masuk gula itu kerana harga tinggi di antarabangsa. Jadi kerajaan sedang mencari jalan selesaikan isu ini supaya bekalan gula cukup untuk rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) Daerah Pitas dan meninjau Program Jualan Ramah di sini hari ini.

Armizan berkata pihaknya ada menerima aduan tentang gangguan bekalan gula terutama yang dikawal pada harga RM2.85 sekilogram di pasaran Sabah juga negeri lain, namun penyelesaian isu itu perlu mengambil kira tahap bekalan gula dan bukan harga semata-mata.

“Kerajaan dalam proses mempertimbangkan langkah jangka panjang berkaitan bekalan gula sebab tanggungjawab kerajaan bukan hanya lihat harga gula munasabah, rendah dan dikawal tetapi juga pastikan kestabilan bekalan gula itu.

“Kalau kawal harga rendah tetapi akhirnya bekalan tidak mencukupi itu pun akan datangkan isu kepada rakyat jadi kita kena buat pertimbangan sewajarnya. Isunya memang harga gula di pasaran antarabangsa tinggi yang mula dihadapi sejak 2021,” katanya.

Beliau menolak dakwaan bekalan gula dimonopoli pihak tertentu sehingga menyebabkan gangguan bekalan itu kerana kerajaan telah memberikan AP import barangan itu kepada 43 syarikat sebelum ini dan harga purata gula import antara RM3,400 hingga RM3,500 satu tan metrik. – Bernama

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *