HomeEkonomiLaporan LKAN Mengenai Industri Padi Buktikan Program penanaman padi Negara Tidak Memuaskan

Laporan LKAN Mengenai Industri Padi Buktikan Program penanaman padi Negara Tidak Memuaskan

Read Time:5 Minute, 45 Second

Oleh: Wan Azrain Adnan

1.        Baru-baru ini, Malaysia telah di landa krisis beras, di mana harga beras telah naik mendadak dan bekalan beras di pasaran tempatan telah tidak mencukupi. Krisis beras berkenaan telah menimbulkan keresahan rakyat kerana beras merupakan makanan utama rakyat Malaysia.

2.        Krisis beras yang berlanjutan sehingga kini telah memperlihatkan dengan terbuka status industri padi dan beras negara, yang di selubungi dengan pelbagai permasalahan tanpa penyelesaian yang efektif dan berpanjangan. Isu-isu berkenaan sudah lama berakar-umbi di dalam industri, termasuklah: kos penanaman, harga siling jualan, insentif & subsidi, benih padi, infrastruktur saliran air dan kuasa kartel.

3.        Beberapa hari lepas, Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022) telah melaporkan mengenai pengurusan program penanaman padi negara adalah tidak memeranjatkan, malah mengesahkan status industri padi masa kini. LKAN 2022 telah menonjolkan kepincangan pengurusan, kegagalan pencapaian sasaran serta tahap rendah pendapatan pesawah. Secara ringkasnya, LKAN 2022 merumuskan bahawa pencapaian program penanaman padi adalah tidak memuaskan.

4.        Seterusnya, LKAN 2022 menyatakan bahawa pengurusan program penanaman padi perlu di tambah baik dari aspek pengurusan tanah, benih padi, baja, jentera serta kawalan peruntukan.

5.        Menurut LKAN 2022, di antara tahun 2019 – 2022, peruntukan sejumlah RM 6.82 billion telah di salurkan oleh Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk pengurusan dan pembangunan program penanaman padi negara. Ini termasuklah subsidi dan insentif di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), seperti: Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) untuk baja NPK, racun, kapur, pembajakan, baja bio dan Insentif Benih Padi Sah (IBPS).

6.        Namun begitu, hanya RM 6.342 billion di belanjakan, dan terdapat baki peruntukan terkumpul di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berjumlah RM 448.87 juta (2019 – 2022). Ini menunjukkan bahawa peruntukan yang di sediakan tidak di belanjakan secara optimum bagi membantu golongan sasar mengurangkan kos pengeluaran padi.

7.        LKAN 2022 turut melaporkan bahawa kawasan padi telah menyusut sejumlah 15,734 hektar (2020 – 2021). Kawasan padi berkenaan telah di bangunkan untuk projek perumahan, komersil dan juga penanaman tanaman lain seperti kelapa sawit. Penyusutan kawasan padi sebegini sudah pasti akan menyukarkan pencapaian sasaran Kadar Sara Diri Beras negara.

8.        Isu penwartaan jelapang padi sebagai kawasan penanaman padi telah menyebabkan penyusutan kawasan padi sediada. Berdasarkan Rancangan Fizikal Negara Ke-2 Tahun 2010, kawasan jelapang padi perlu di wartakan sebagai kawasan tanaman padi. Namun begitu, sehingga 31 Disember 2022, hanya MADA telah di wartakan sebagai kawasan penanaman padi.

9.        Di Malaysia, terdapat 12 Jelapang Padi yang merangkumi jumlah keluasan keseluruhan 416,415 hektar, melibatkan seramai 196,138 pesawah berdaftar. Kawasan Jelapang Padi negara adalah: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kedah, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Kelantan dan 10 Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) iaitu – IADA Kerian Perak, IADA Barat Laut Selangor, IADA Pulau Pinang, IADA Seberang Perak, IADA KETARA Terengganu, IADA Kemasin Semerak Kelantan, IADA Pekan Pahang, IADA Rompin Pahang, IADA Kota Belud Sabah dan IADA Batang Lupar Sarawak.

10.      Sebagai contoh. Jelapang Padi yang menghadapi isu serius penyusutan kawasan padi ialah IADA Kerian Perak. Dalam tempoh 10 tahun, IADA Kerian telah mencatatkan penyusutan kawasan padi sejumlah 8,222 hektar (31%): 26,719 hektar (2011) kepada 18,497 hektar (2021). Ini telah menyebabkan pengeluaran padi di IADA Kerian menurun sebanyak 54,364 MT (28%): 196,051 MT (2011) kepada 141,687 MT (2021).

11.      Pada masa yang sama, LKAN 2022 melaporkan kelemahan pengurusan pengagihan baja kepada pesawah. Ramai pesawah telah menerima bekalan baja melepasi tempoh pembajaan sepatutnya. Kelewatan pembajaan akan mengganggu tumbesaran padi dan hasil padi akan merosot. Akhirnya pesawah juga yang menanggung kerugian.

12.      Apabila pembekal lewat membekalkan baja kepada pesawah, pembekal akan di kenakan denda oleh Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Kelewatan pembekalan baja kerap berlaku sehinggakan jumlah denda yang di kenakan oleh KPKM kepada pembekal adalah berjumlah RM 211.27 juta bagi tahun 2016 – 2019. Manakala bagi tahun 2020 – 2021 pula, jumlah denda adalah RM 57.43 juta.

13.      Namun begitu, walaupun tidak mendapat maklumbalas positif dari Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah meluluskan pengecualian 100% denda berjumlah RM 211.27 juta yang telah di kenakan kepada pembekal di atas kelewatan pembekalan baja bagi tahun 2016 – 2019.

14.      Pengecualian 100% denda tersebut amatlah tidak wajar memandangkan kelewatan pembekalan baja kerap dan terus berlaku, tanpa sebarang hukuman. Kerajaan mengalami kerugian kerana jumlah denda yang besar itu telah di lupuskan. Pesawah pula telah mengalami kerugian kerana penanaman padi terganggu akibat kelewatan pembajaan.  Maka siapa yang mendapat manfaat di atas pengecualian denda tersebut?   

15.      Kegagalan pengurusan program penanaman padi telah menyumbang kepada prestasi serta pencapaian industri padi yang masih kekal rendah. Ini telah menyebabkan majoriti pesawah terus di belenggu kemiskinan. LKAN 2022 telah menganalisa data 77,275 (33.7%) pesawah daripada jumlah keseluruhan 229,322 pesawah yang mempunyai data lengkap di dalam sistem ePadi, i-Padi dan SPIM.

16.      Daripada jumlah 77,275 pesawah yang di analisa tersebut:

  • seramai 43,528 (56.3%) memperolehi purata pendapatan di bawah RM 1,500 sebulan, iaitu di bawah paras Gaji Minimum, serta meletakkan ramai pesawah di dalam kelompok miskin tegar.

(Gaji Minimum Negara: RM 1,500 sebulan)

(Kemiskinan Tegar: pendapatan di bawah RM 1,198 sebulan)

  • seramai 58,394 (75.9%) memperolehi purata pendapatan di bawah RM 2,500 sebulan. Ini bermakna 75.9% pesawah memperolehi pendapatan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan Malaysia.

(Nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Malaysia: RM 2,589 sebulan)

17.      LKAN 2022 mengesahkan bahawa industri padi negara menghadapi pelbagai isu dan cabaran yang menghindar pencapaian matlamat yang telah di sasarkan. Malah, prestasi industri padi negara di lihat semakin merosot kerana Kadar Sara Diri Beras terus menurun dari tahun ke tahun.

18.      Justeru itu, industri padi negara memerlukan transformasi menyeluruh yang melibatkan semua pihak berkepentingan di semua peringkat, dari Putrajaya hinggalah ke sawah padi di seluruh negara. LKAN 2022 wajib menjadi wake-up call kepada semua pihak berkepentingan bahawa business as usual akan menghasilkan result as usual.

19.      Tambahan lagi, penyelesaian secara ad-hoc dan sedikit-sedikit/ piecemeal tidak akan dapat mencapai matlamat yang di sasarkan. Penyelesaian transformatif memerlukan pemikiran, pendekatan serta gerak-kerja yang baru. Ini termasuklah menilai serta merombak struktur, fungsi dan tanggungjawab semua agensi kerajaan yang terlibat agar pengurusan serta pembangunan industri padi boleh di laksanakan dengan berkesan.

20.      Berapa generasi lagi pesawah mesti mengharungi kehidupan dengan kemiskinan?

25 November 2023

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular