HomeUtamaBelanjawan 2024 : KKR beri fokus usaha naik taraf infrastuktur Sabah

Belanjawan 2024 : KKR beri fokus usaha naik taraf infrastuktur Sabah

Read Time:2 Minute, 0 Second

Putatan : Peruntukan sebanyak RM1.72 bilion kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah dalam pembentangan Belanjawan Sabah 2024 Jumaat lalu akan memberi fokus kepada usaha menaik taraf dan menyelesaikan masalah infrastuktur di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia termasulah usaha menaik taraf jalan raya dan air yang sering membelenggu rakyat di Sabah.

Katanya, belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun itu akan mula dibahaskan hari ini dan berharap agar ianya dapat diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Tambahan peruntukan ini yang memfokuskan kepada usaha-usaha untuk menaik taraf dan menyelesaikan infra seperti jalan raya, air dan sebagainya.

“Sudah pasti harapan saya, belanjawan ini akan dibahas bermula esok (hari ini) sehingga Khamis nanti dan akan dapat diluluskan.  InsyaAllah dan seterusnya adalah pelaksanaan bajet tersebut pada tahun 2024 nanti, moha ianya dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Hari Keselamatan Makanan Sedunia dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri Sabah 2023 di sini semalam.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, belanjawan yang dibentangkann itu merupakan belanjawan lebihan yang menunjukkan sedikit peningkatan walaupun keadaan ekonomi dunia pada masa kini cukup mencabar.

“Bajet yang dibentangkan ini adalah merupakan bajet surplus dan menampakkan ada sedikit pertambahan dalam keadaan ekonomi dunia yang begitu mencabar sekarang ini tapi kita masih dapat melaksanakan bajet lebihan dengan pertambahan jumlah berbanding tahun sebelumnya.

“Jadi ianya merupakan satu usaha Kerajaan negeri Sabah bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan memastikan keadaan rakyat berapa dalam keadaan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Shahelmey menyeru pengusaha makanan agar terus komited dalam memastikan penghasilan makanan yang selamat. 

Katanya, pengusaha makanan dinasihat untuk mendapatkan pensijilan bagi memastikan penghasilan makanan yang selamat dan berkualiti kepada pengguna. 

“Pada masa kini, kawalan keselamatan dan kualiti makanan menjadi semakin mencabar disebabkan faktor kompleksiti dalam penghasilannya.

“Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah Program Keselamatan dan Kualiti Makanan telah memperkenalkan beberapa jenis pensijilan kepada pengusaha makanan seperti Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP), Good Manufacturing Practice (GMP), MeSTI, BeSS, Trust MyCatering dan Home Based Listing bagi memastikan keselamatan dan kualiti makanan di pasaran terjamin. 

“Tahniah diucapkan kepada lebih kurang 12 perusahaan makanan yang akan menerima pensijilan keselamatan makanan bagi MeSTI dan Home-based Listing pada hari ini.

“Kita semua sebagai pengguna mempunyai hak untuk memacu perubahan dalam memastikan makanan yang diambil adalah bersih dan selamat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular