HomeUtamaDUN Sabah : Sabah kekal pendirian pertahan Ambalat

DUN Sabah : Sabah kekal pendirian pertahan Ambalat

Read Time:1 Minute, 28 Second

Kota Kinabalu : Sabah tidak pernah setuju dengan sebarang tuntutan Indonesia berkaitan isu Ambalat di Laut Sulawesi.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini kerana perairan berkenaan kaya dengan khazanah seperti gas dan minyak.

“Saya amat maklum apa yang dimaksudkan Senallang kerana itu saya sebutkan tadi, kita tidak pernah setuju tentang tuntutan Indonesia di Laut Sulawesi yang kaya dengan khazanah seperti gas dan minyak.

“Sekarang kita masih dalam perundingan.  Baru-baru ini, satu perundingan tellah dibuat di Indonesia dan belum ada pencapaian apa-apa.  Jadi pendirian kita tegas dalam perkara itu, kita tidak sewenang-wenangnya memberi hak kita untuk menuntut apa yang disebut Laut Sulawesi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Terdahulu, Hajiji berkata, Malaysia dan Indonesia komited untuk menyelesaikan persempadanan darat dan persempadanan laut wilayah secara menyeluruh dan setakat ini tidak ada apa-apa persetujuan dibuat melalui platform-platform mesyuarat dua hala (bilateral meeting) yang berkaitan Pulau Sebatik dan Laut Sulawesi.

Katanya, Sabah juga telah dilibatkan secara aktif dalam platform-platform mesyuarat dua hala ini yang diketuai oleh Kementerian Luar Negeri.

“Kita akan memastikan setiap perundingan atau cadangan-cadangan yang melibatkan persempadanan Sabah, Malaysia dan Indonesia adalah dibentang dan dirujuk kepada Jemaah Menteri Sabah terlebih dahulu untuk mendapat asas perundingan, hala tuju dan ketetapan.

“Kerajaan Negeri Sabah kekal dengan pendirian jelas, konsisten dan tidak akan berganjak dari apa jua cubaan negara jiran bagi memastikan persempadanan negara khususnya negeri Sabah sentiasa dipelihara dan tidak tergugat,” katanya.

Shafie sebelum itu mohon penjelasan mengenai rundingan dengan Indonesia berkaitan Pulau Sebatik di bawah Perjanjian Laut Sulawesi, apa yang dituntut oleh Indonesia dan sama ada perjanjian sudah dibuat atau masih dalam peringkat perundingan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pantau projek pemasangan menara telekomunikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular