HomeSukanDUN Sabah : 22 jenis sukan dipertandingkan pada SAGA ke-10

DUN Sabah : 22 jenis sukan dipertandingkan pada SAGA ke-10

Read Time:1 Minute, 23 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak 22 jenis sukan akan dipertandingkan pada temasya Sukan Sabah (SAGA) edisi ke-10 yang akan berlangsung selama tujuh hari bermula 16 Disember depan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, temasya sukan terbesar Sabah itu akan diadakan di empat buah daerah iaitu Kota Kinabalu; Ranau; Tuaran dan Keningau.

“SAGA edisi ke-10 pada kali ini melibatkan seramai 3,110 orang atlet dan pegawai di daerah Kota Kinabalu, 1,298 orang di daerah Tuaran dan 794 orang di daerah Penampang.

“Selain itu seramai 988 orang akan terlibat di daerah Putatan, 235 orang di daerah Ranau, 140 orang di daerah Keningau dan selebihnya 394 orang merupakan pegawai urus setia yang akan bertungkus-lumus memastikan temasya tahun ini berlangsung dengan lancar dan sukses,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Ellron berkata, sebanyak 182 pingat Emas, 182 pingat Perak dan 262 pingat Gangsa akan menjadi rebutan, di mana 103 acara ditawarkan dalam kategori Lelaki, 75 acara untuk kategori Wanita dan empat acara untuk kategori Campuran.

Katanya, SAGA merupakan platform kepada ahli-ahli sukan atau atlet daripada 28 daerah di seluruh negeri Sabah, bertanding sebelum dikenalpasti dan dipilih mewakili negeri ini untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak yang akan berlangsung Ogos tahun depan.

“Kontinjen SUKMA Sabah mempunyai hasrat yang amat tinggi untuk memenangi lebih banyak pingat emas pada SUKMA 2024 Sarawak.

“Lembaga Sukan, agensi di bawah Kementerian saya juga berperanan dalam mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan bawah 12 Tahun. Pada  tahun  2024, program pembangunan bola sepak bawah 12 tahun akan dilaksanakan di beberapa daerah di Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Mangsa samun ditetak, patah tulang, luka lengan kanan dan kiri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya