HomeUtamaDUN Sabah : Projek kapal janakuasa berkapasiti 224MW di Sabah dibatalkan

DUN Sabah : Projek kapal janakuasa berkapasiti 224MW di Sabah dibatalkan

Read Time:1 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu : Projek penyewaan kapal janakuasa (powership) berkapasiti 224 megawatt (MW) bagi menangani isu jidar simpanan kritikal bekalan elektrik di Sabah seperti yang dicadang sebelum ini sudah dibatalkan.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata, projek itu pada mulanya telah diluluskan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tariff (JPPPET) Sabah pada 12 Jun lalu.

“Proses seterusnya disusuli rundingan di antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Karpowership Global dari Turkiye selaku pemilik kapal janakuasa itu, namun gagal mencapai persetujuan.

“Berikutan itu, Lembaga Pengarah SESB membuat keputusan untuk menamatkan proses rundingan pada 15 September 2023 melalui surat makluman kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Karpowership Global.

“Seterusnya mesyuarat susulan mengenai keputusan itu diadakan di antara Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC); Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak), ECoS, SESB dan Suruhanjaya Tenaga (ST) pada 20 September 2023 yang memutuskan pembatalan projek itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Annuar Ayub Aman (STAR-Liawan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Nizam berkata berikutan pembatalan projek itu, ia kini digantikan dengan dua projek alternatif yang disasar dapat menambah keperluan bekalan tenaga elektrik di Sabah dalam jangka masa pendek.

“Pelan alternatif bagi menggantikan projek ialah meneruskan pelan interim penyewaan set janakuasa diesel berkapasiti 100 MW yang akan dilanjutkan operasinya sehingga 2025 berbanding perancangan asal hanya enam bulan.

“Kedua, projek pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100 MW akan diawalkan operasinya tahun depan berbanding perancangan asal pada 2026,” katanya.

Berdasarkan perancangan asal, kapal janakuasa yang bakal ditempatkan di pantai timur Sabah itu dijadual beroperasi secara sewaan selama lima tahun bermula tahun ini hingga 2028.

RELATED ARTICLES
Utama

Komuniti Madani diseru manfaatkan aplikasi ‘PriceCatcher’, ‘Speedtest’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular