Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah mengalu-alukan keputusan United Kingdom (UK) yang menukar nasihat perjalanannya bagi warga British yang ingin melancong ke negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Sabah turutu mengulangi jaminannya bahawa negeri ini adalah destinasi yang selamat untuk dilawati pengunjung luar dan menjalankan perniagaan.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Sabah, berkata pihak berkuasa memberi jaminan tahap keselamatan di negeri ini terkawal.
“Susulan penilaian terkini keselamatan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah adalah terkawal.
“Perintah berkurung sudah ditiadakan, Sabah adalah tempat yang selamat untuk dilawati dan menjalankan perniagaan,” katanya.
Beliau mengulas keputusan terbaru kerajaan United Kingdom yang menyemak semula nasihat perjalanan ke timur Sabah seperti diumumkan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Ailsa Terry, semalam.
Perubahan besar nasihat perjalanan ke Sabah oleh kerajaan negara berkenaan adalah yang pertama sejak 2013.
Sementara itu, Hajiji berkata rekod menunjukkan lebih 150,000 pelancong asing melawat timur Sabah antara Januari hingga September tahun ini.
“Dengan keputusan kerajaan United Kingdom itu, kita berharap lebih ramai warga Britain akan melawat negeri ini,” katanya.
Beliau turut berharap negara lain yang ada mengeluarkan nasihat perjalanan ke negeri ini turut mengambil kira keputusan yang dibuat kerajaan United Kingdom itu.