HomeUtamaWarga emas beri kehidupan baharu kepada dua pesakit

Warga emas beri kehidupan baharu kepada dua pesakit

Read Time:1 Minute, 11 Second

Kota Kinabalu : Seorang warga emas berusia 83 tahun yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung menjadi penderma organ tertua di negeri ini seterusnya memberi kehidupan baharu kepada dua pesakit menerusi organ yang didermakan, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Asits Sanna berkata, warga emas berkenaan iaitu mendiang Selvaraju bin Shanmugam @ S S Raju telah melaksanakan prosedur pendermaan organ di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Mendiang merupakan seorang suami dan bapa yang penyayang, bermurah hati dan selalu membantu orang lain yang dalam kesusahan. 

“Walaupun tidak berkesempatan mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, mendiang pernah memaklumkan hasrat menderma organ kepada ahli keluarganya. 

“Pihak keluarga telah mendermakan sepasang kornea (mata) yang telah membantu dua orang pesakit lain mendapat sinar baharu dalam kehidupan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Asits berkata, penderma organ tertua di Sabah sebelum ini adalah berusia 80 tahun dua bulan pada tahun 2018 dan penderma organ termuda adalah berusia  1 tahun 4 bulan pada tahun 2008. 

“Jumlah penderma organ kadaverik (setelah meninggal dunia) di Sabah setakat bulan Oktober 2023 adalah seramai 33 orang.

“JKNS mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga di atas anugerah kehidupan yang diberikan. Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini.

“JKNS turut menyeru orang ramai untuk mendaftar sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera dan maklumkan hasrat murni tersebut kepada ahli keluarga terdekat,” katanya. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

AJ Productions Sdn. Bhd tarik diri kerjasama penganjuran BOHEX

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular