HomeMainCadangan mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil persekutuan akan dikemukakan

Cadangan mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil persekutuan akan dikemukakan

Read Time:2 Minute, 11 Second

Kota Kinabalu: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan mengemukakan cadangan mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil persekutuan kepada Sabah.

Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, dalam hal ini, UPKO akan mengadakan satu perbincangan meja bulat melibatkan pakar-pakar berkaitan, pada 19 Disember ini.

“UPKO akan mengadakan satu perbincangan meja bulat melibatkan beberapa pakar perakaunan, percukaian, pengauditan, bekas majistret, pengamal undang-undang, dan kita akan mengemukakan syor mekanisma kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

“Saya akan mengemukakan dapatan hasil perbincangan ini apabila menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan bersidang pada awal tahun depan.

“Formulanya sudah ada iaitu berdasarkan 40 peratus daripada kutipan hasil persekutuan di Sabah, tinggal lagi mekanisme pelaksanaan. Ini mesti diselesaikan oleh para pemimpin Sabah dan mesti ada permulaannya.

“Kalau kita berbincang mengenai hasil secara langsung yang dipungut oleh pejabat-pejabat hasil di Sabah bersekali dengan hasil secara tidak langsung, sudah tentu ia akan melibatkan proses yang lama kerana melibatkan interpretasi ke atas banyak perundangan.

“Maka ia akan melanjutkan tempoh masa yang telah diputuskan oleh kerajaan iaitu satu tahun bermula daripada Julai tahun ini hingga Julai tahun depan untuk memuktamadkan mekanisme.

“Pada saya, kita harus mengisi tempoh masa itu dengan cadangan-cadangan mekanisme bagaimana pembayaran semula 40 peratus kepada Sabah. Contohnya, adakah rakyat Sabah bersedia menerima jumlah peruntukan yang lebih rendah daripada yang diberikan sekarang bagi memastikan penbayaran semula 40% itu dapat dibuat?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Coffee Cactus Produk Koperasi Peniaga Usahawan Inanam Berhad (KOUPIO) sempena Program Pempromosian dan Penggalakan Koperasi Peringkat Parlimen Sepanggar Tahun 2023 anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), hari ini.

Ewon berkata, para pemimpin Sabah perlu mengurangkan polemik politik sebaliknya bersama-sama mengemukakan cadangan bagaimana melaksanakan 40 peratus.

“Kalau kita mahu bercakap mengenai 40 peratus, apa cadangan dan bagaimana mekanisme ia boleh dilaksanakan. Saya fikir ini ada kelompongan sepanjang kita berbicara mengenai perkara ini kerana kita hanya mahu menuntut 40 peratus itu tanpa cadangan konkrit mengenai mekanismenya.

“Kadang-kadang kerajaan persekutuan, contohnya Kementerian Kewangan mengemukakan cadangan tetapi kita tidak setuju dan pada masa yang sama, kita tidak menyatakan cadangan balik untuk melaksanakan tuntutan 40 peratus,” katanya.

Ewon berkata, kerajaan persekutuan sekarang telah memutuskan tempoh masa satu tahun memuktamadakan mekanisme pembayaran semula hasil persekutuan kepada Sabah dan parti UPKO ingin memberi sumbangan positif kepada proses tersebut.

“Berbeza dengan pentadbiran kerajaan-kerajaan sebelum ini, kerajaan pimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim telah menetapkan tempoh masa untuk kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri memuktamadkan perkara ini. Sebagai Ahli Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 dan Anggota Kabinet, saya akan menggunakan semua platform yang ada ini untuk merekodkan cadangan mekanisme pelaksanaan 40 peratus tersebut,” katanya.

RELATED ARTICLES
Main

SHELL awards deepwater asset operations contracts to two Sabahan Companies

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular