HomeIsu tempatanKoUPIO mahu produk kopi kaktus dari Sabah tembusi pasaran luar negara

KoUPIO mahu produk kopi kaktus dari Sabah tembusi pasaran luar negara

Read Time:2 Minute, 21 Second

BERNAMA

Kota Kinabalu : Koperasi Usahawan Peniaga Inanam Berhad (KoUPIO) mahu meluaskan pasaran Kopi Kaktus, produk pertama keluaran koperasi itu sehingga ke luar negara, kata Pengerusinya, Datin Esther Sikayun.

Beliau berkata selain memasarkan produk itu di Kuala Lumpur, pihaknya berhasrat untuk mengembangkan lagi potensi pasaran Kopi Kaktus ke negara-negara seperti Singapura, Brunei dan China.

Katanya beliau optimis Kopi Kaktus mampu melebarkan sayapnya berikutan potensi dan keistimewaan produk tersebut.

“Kopi Kaktus ini adalah projek terunggul kami yang baru dikeluarkan dan akan dipasarkan. Ia baru dilancarkan.

“Kami telah berbincang dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang akan memberi sokongan kepada kami untuk membantu memasarkannya kepada koperasi lain yang mempunyai kedai runcit, selain mengambil produk kami dalam setiap program mereka,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran produk Kopi Kaktus itu, baru-baru ini.

Ia dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick sempena Program Pempromosian dan Penggalakan Koperasi peringkat Parlimen Sepanggar di sini.

Esther berkata pihaknya memilih kopi sebagai produk pertama keluaran mereka kerana melihat minuman itu amat digemari ramai dan mereka memberi nilai tambah dengan menghasilkan kopi campuran antara kopi robusta dan buah kaktus pear berduri.

“Ia didatangkan dalam bentuk paket minuman harian kopi campuran tiga dalam satu supaya ia boleh diminum pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya, sambil menambah kopi kaktus antara lain boleh memberikan kecerdasan badan, mengurangkan tahap kolesterol dan antioksidan.

Esther berkata pihaknya juga akan menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menghasilkan minyak pati berasaskan serai wangi sebagai produk mereka yang seterusnya.

Sementara itu, Ewon mengalu-alukan inisiatif KoUPIO yang memulakan penanaman serai wangi sebagai bahan mentah untuk tujuan tersebut.

Justeru, katanya pihaknya bersetuju untuk memberikan peruntukan khas sebanyak RM20,000 pada awal tahun depan untuk koperasi itu melaksanakan idea tersebut dalam kalangan ahli dan penduduk sekitar Inanam.

Katanya beliau yakin inisiatif seumpama itu berupaya membawa rakyat yang mempunyai aset seperti tanah untuk diusahakan lebih produktif seterusnya mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Mengenai produk Kopi Kaktus, Ewon turut meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 di bawah Skim Pembangunan Produk oleh SKM bagi membangunkan produk itu termasuk dalam aspek pelabelan, pembungkusan dan promosi.

Beliau juga menyarankan penduduk Parlimen Sepanggar khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam supaya berusaha menubuhkan koperasi bagi memberi impak positif kepada ekonomi masyarakat.

Setakat ini, katanya sebanyak 81 koperasi berdaftar di Parlimen Sepanggar manakala 40 koperasi dalam kawasan DUN Inanam.

“Saya melihat kawasan Inanam juga berpotensi dan sesuai untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti koperasi dalam komuniti. Sebagai contoh, Koperasi Desa Cinta Kobuni Berhad yang terletak di Kampung Kobuni, melaksanakan aktiviti berkaitan pelancongan seperti rumah inap desa, mendaki dan sewaan van.

“Aktiviti dalam komuniti bukan sahaja dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, bahkan memperkenalkan keunikan sesebuah daerah mahupun kampung tersebut,” katanya.

Setakat November lepas, lebih 100 koperasi baharu didaftarkan di Sabah, yang merupakan sebahagian daripada 723 koperasi yang didaftarkan di seluruh negara.  BERNAMA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular