HomeUtamaGraduan perlu sentiasa amal etika kerja baik dalam pekerjaan

Graduan perlu sentiasa amal etika kerja baik dalam pekerjaan

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Kinabalu : Para graduan diingatkan agar sentiasa mengamalkan etika kerja yang baik dalam pekerjaan bagi memastikan graduan dapat membawa kemajuan kepada bangsa dan negara.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, ia termasuklah rajin, menepati masa dan sebagainya.

Katanya, para graduan juga perlu peka kepada perubahan semasa, berilmu dan berakhlak mulia, serta tidak mudah lentur menghadapi cabaran.

“Dengan sikap yang utuh dan kental ini, para graduan mampu membina semula negara Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, berprestij dan disegani ramai.  Detik-detik kegembiraan dengan menamatkan pengajian merupakan suatu kenangan yang tidak mungkin dilupakan. 

“Permulaan kehidupan sebenar mungkin bermula dengan mencari pekerjaan. Hari ini, terutamanya di Sabah, mendapatkan pekerjaan pertama bukanlah satu tugas yang mudah.

“Kekosongan jawatan yang amat terhad ini menyebabkan persaingan antara graduan sangat kompetitif dan memerlukan seseorang calon itu dapat mengetengahkan kriteria yang bersesuaian dengan keperluan industri semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-25 Bagi Graduan Tahun 2023 sidang pertama di sini hari ini.

Tun Juhar yant juga Canselor UMS berkata, bakal pekerja mesti berpotensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan organisasi mereka. 

Katanya, antara kualiti yang dicari termasuk mempunyai motivasi dan etika kerja yang baik, disiplin serta mempunyai sifat integriti yang tinggi. 

“Sesungguhnya, graduan di universiti ini  telah dilengkapi dengan minda terbuka yang mampu menerima cabaran semasa.  Jika anda memulakan sesuatu yang hebat untuk masa depan anda, maka ia memerlukan permulaan yang cemerlang, dan yang cemerlang itu bermula pada langkah yang pertama,” katanya.

Terdahulu, seramai 4,236 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS yang bermula hari ini sehingga Khamis ini.

Dari jumlah tersebut, penerima Ijazah Doktor Falsafah adalah seramai 106 orang, Ijazah Sarjana seramai 307 orang, Diploma Pasca seramai 144 orang,  Ijazah Sarjana Muda seramai 3,617 orang dan Diploma seramai 62 orang akan menerima skrol masing-masing.

Tun Juhar turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua ibu bapa atas kecekalan mendorong anak-anak belajar hingga ke menara gading, walaupun banyak halangan dan rintangan yang dihadapi sepanjang pengajian mereka.

“Saya yakin, pengorbanan ibu bapa merupakan pembakar semangat anak-anak untuk berjaya. Saya mendoakan agar pengorbanan itu akan mendapat sebaik-baik ganjaran daripada Allah Subhanahu Wataala,” katanya. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular