Kota Kinabalu : Rombakan Kabinet Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyaksikan lima menteri baharu dilantik untuk menerajui beberapa kementerian di bawah Kerajaan Perpaduan.
Selain itu, beberapa menteri bertukar portfolio termasuklah Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali yang dilantik untuk menggalas tugas sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang baru menggantikan Allahyarham Salahuddin Ayub.
Perubahan utama antara lain membabitkan satu daripada portfolio Timbalan Perdana Menteri, jawatan Menteri Kewangan II, pengwujudan semula Kementerian Wilayah Persekutuan dan pemisahan dua kementerian.
Jawatan Menteri Kewangan II disandang oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut diumumkan kembali memegang portfolio Menteri Kesihatan bagi menggantikan Dr Zaliha Mustafa.
Manakala Dr. Zaliha berpindah portfolio di Kementerian Wilayah Persekutuan yang sebelum ini dibubarkan bagi mewujudkan Jabatan Wilayah Persekutuan.
Bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang diterajui Fahmi Fadzil sebelum ni telah dipisahkan bidang kuasa dimana Fahmi akan menerajui kementerian bertumpu kepada aspek komunikasi.
Manakala bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo akan bertanggungjawab terhadap portfolio Kementerian Digital.
Selain itu, Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim pula dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia menggantikan V Sivakumar.
Manakala bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.
Dalam pada itu, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini diterajui Nik Nazmi Nik Ahmad telah dipecah kepada dua.
Datuk Seri Fadillah Yusof yang ketika memegang portfolio Timbalan Perdana Menteri bakal menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Kelestarian Awam.
Rombakan Kabinet Persekutuan itu turut membabitkan Datuk Seri Mohamad Hassan yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Pertahanan berpindah kementerian sebagai Menteri Luar yang disandang Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Zambry pula akan menerajui Kementerian Pengajian Tinggi bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berpindah ke Kementerian Pertahanan.
Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan bekas Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM, Zulkifli Hasan sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Secara keseluruhan jumlah ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 orang ke 31 orang dan Timbalan Menteri turut meningkat daripada 27 orang kepada 29 orang.
Jumlah keseluruhan Kabinet Persekutuan meningkat daripada 55 orang kepada 60 orang namun masih rendah jika dibandingkan 70 orang barisan Kabinet pada Pentadbiran sebelum ini.



