HomeUtamaPelan Anti-Rasuah Organisasi JHEANS dilancar

Pelan Anti-Rasuah Organisasi JHEANS dilancar

Read Time:2 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap pelaksanaan pelbagai inisiatif yang termaktub dalam Pelan Anti-Rasuah bagi Organisasi Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) bagi tempoh tahun 2024 hingga tahun 2028, dalam usaha menjalankan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri KKTP, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, keputusan ini menandakan komitmen yang teguh terhadap pematuhan prinsip tadbir urus yang cemerlang, pembangunan integriti yang mapan, dan usaha berterusan dalam melawan gejala rasuah.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi JHEANS yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi (12 Dis).

Menurut beliau, pembentukan kerangka pelan ini adalah penting bagi melaksanakan hasrat tersebut, sekaligus menjadi pemacu utama dalam menggerakkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Pelan ini harus menjadi panduan utama ke arah pelaksanaan yang strategik, dengan menggariskan langkah-langkah yang selari dengan agenda integriti yang diperkukuhkan oleh pembolehdaya Kecemerlangan Tadbir Urus.

“Dengan menyelaraskan diri dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, pelan ini tidak hanya menjadi landasan bagi pencapaian sasaran, tetapi juga membentuk landskap yang memperkasa tadbir urus cemerlang dalam perkhidmatan awam negeri,” katanya.

Dr. Joachim berkata, pemantapan diri setiap penjawat awam, terutamanya di Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, akan terus berpaksi kepada transformasi tadbir urus yang berdaya maju, seiring dengan visi dan misi jabatan ke arah kecemerlangan tadbir urus negeri yang dihajatkan/diinginkan.

“Saya dengan penuh rasa bangga mengamati komitmen teguh yang telah dipamerkan oleh jawatankuasa dalam merealisasikan Pelan Anti-Rasuah Organisasi JHEANS.

“Pelan ini tidak sekadar mencerminkan kesungguhan tetapi juga semangat berpasukan yang teguh dalam kalangan semua kakitangan, dengan penuh tekad menyertai usaha Kerajaan Negeri Sabah dalam menangani dan membasmi gejala rasuah.

“Penekanan tambahan diberikan terhadap penerapan etika dan nilai-nilai murni dalam melaksanakan tugas profesional, menyempurnakan komitmen terhadap prinsip-prinsip integriti yang tinggi dalam budaya kerja selaku penjawat awam Kerajaan Negeri,” ujarnya.
 
Menurutnya lagi, adalah penting untuk diambil perhatian bahawa pelan ini seharusnya tidak hanya diaplikasikan di peringkat Jabatan sahaja.

Sebaliknya, katanaya, ia perlu dihayati dan diaplikasikan melalui seluruh struktur pentadbiran, termasuklah unit bawah Jabatan seperti Pentadbiran, Pembangunan, Usahawan Anak Negeri Sabah, Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri, dan Mahkamah Anak Negeri Sabah.

“Keterlibatan dan komitmen daripada semua peringkat ini adalah penting untuk memastikan keberkesanan dan keberlanjutan pelaksanaan pelan ini di seluruh organisasi. Hal ini bukan sahaja akan memperkukuhkan lagi integriti dan tadbir urus yang cemerlang di peringkat Jabatan, tetapi juga akan memberikan impak positif kepada setiap entiti yang terlibat seterusnya membentuk landskap yang menyeluruh dalam usaha memerangi rasuah,” katanya.
 
Tambah beliau, dengan pelaksanaan pelan ini,  Kementerian dapat melihat peningkatan dalam kepercayaan masyarakat terhadap pentadbiran kerajaan, memastikan setiap langkah dan keputusan yang diambil adalah telus dan untuk kepentingan bersama.

“Oleh itu, hari ini adalah langkah penting dalam melonjakkan imej dan integriti bukan hanya bagi Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah tetapi juga untuk Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan secara keseluruhannya,” jelasnya.

Beliau turut mengajak semua pihak, terutama warga Kementerian, untuk terus menyokong dan melibatkan diri secara aktif dalam pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah ini.

“Dengan kerjasama yang kukuh, kita dapat menjadikan Kementerian Kerajaan Perumahan dan Tempatan sebagai model terbaik dalam tadbir urus dan integriti di Malaysia,” katanya.

Dr Joachim juga berharap agar buku Pelan Anti-Rasuah Organisasi JHEANS untuk tempoh 2024-2028 yang telah dihasilkan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk memperkasakan fungsi jabatan dan meningkatkan kepercayaan masyarakat kepada Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular