HomeSukanDua pasukan TABS Bandaraya wakili Sabah ke Grand Final Liga Suparimau FAM...

Dua pasukan TABS Bandaraya wakili Sabah ke Grand Final Liga Suparimau FAM 2023

Read Time:1 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu : Dua pasukan Tunas Asas Bola Sepak (TABS) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) pagi tadi berlepas ke Kuala Lumpur bagi menyertai Grand Final Liga Suparimau FAM 2023 yang akan bermula Sabtu ini.

Pasukan terlibat adalah pasukan bawah 16 tahun (B16) dan bawah 12 tahun (B12) yang akan mewakili Zon Sabah ke pertandingan berkenaan.

Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim berkata, setiap pasukan itu dianggotai 20 pemain bersama seorang pengurus dan tiga jurulatih.

Katanya, kedua-dua pasukan itu berangkat awal ke ibu negara bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri sebelum bertanding bermula Sabtu ini.

“Mereka sudah pun melakukan persediaan sebaik sahaja mereka telah memenangi kategori umur masing-masing dalam saingan Liga Suparimau FAM 2023 bagi Zon Sabah kira-kira dua minggu lepas,” katanya ketika ditemui di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini.

Lokman berharap kedua-dua pasukan tersebut mampu melakukan yang terbaik dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan di grand final itu.

“Kita berharap pemain-pemain kedua-dua pasukan mampu bersaing dengan pencabar masing-masing. Paling penting mereka perlu menggalas tanggungjawab dan cabaran yang bakal mereka hadapi di sana nanti,” katanya.

Menurut beliau, pasukan ini membawa nama Sabah dan mereka seharusnya mampu mempersembahkan kualiti permainan yang lebih menyakinkan.

“Kita sangat mengharapkan mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi serta kesungguhan untuk memburu kejayaan,” katanya.

Rombongan TABS diketuai ketua kontinjen, Zaim Asnawi bersama ketua jurulatih Matasan Ahmad selain pengurus pasukan B16, Ali Omboi dan pengurus B12, Nunsi Ghani.

Pasukan B16 yang menggunakan nama TABS SAFA Tigers disenaraikan dalam Kumpulan A bersama pasukan AB Felda, Cilik Junior FC, DTC Kuala Muda dan NFDP PLD JB manakala pasukan B12 juga dalam Kumpulan A bersama Akademi Wira Muda, Putrajaya Tiger, Shining Academy dan SP Brotherhodd Jr.

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC perlu penyerang baharu, atasi bahagian serangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular