HomeUtamaKDN buka Baitul Mahabbah di Depot Imigresen Papar

KDN buka Baitul Mahabbah di Depot Imigresen Papar

Read Time:3 Minute, 6 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Pembukaan Baitul Mahabbah di Depot Imigresen Papar merupakan satu lagi mercu tanda Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menterjemahkan penghayatan prinsip kerangka Malaysia Madani yang dinilai dengan ihsan, prihatin, cakna, peduli dan kasih sayang, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Baitul Mahabbah Papar.

Katanya, Baitul Mahabah Papar adalah bilangan yang kedua, yang mana pertama telah dibuka pada 4 September 2023 di Nilai, Negeri Sembilan.

“Baitul Mahabah adalah satu inisiatif terbaharu KDN merupakan penempatan kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan warga asing yang berumur kurang 10 tahun dengan atau tanpa penjaga yang ditahan oleh Jabatan Imigresen melalui operasi penguatkuasaan kerana tidak sempurnanya dokumen mereka atau tidak ada dokumen sama sekali.

“Pelaksanaan Baitul Mahabbah ini merupakan usahasama di antara Bahagian Hal Ehwal Imigresen dan Majlis Anti Pemerdagangan
Orang (MAPO), KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama dan bantuan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), agensi swasta dan Kerajaan serta pihak Kedutaan terlibat,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Baitul Mahabbah di Depot Jabatan Imigresen Papar hari ini (15 Dis).

Saifuddin berkata, negara ini tidak menghalang kehadiran orang luar asalkan patuh kepada undang-undang yang telah ditetapkan.

“Di satu sisi negara kita ada undang-undang, kita menjaga kedaulatan undang-undang, negara tidak menghalang mana-mana orang datang ke negara kita asal saja patuh kepada undang-undang.

“Kalau kedatangan mereka itu memerlukan dokumen yang sah dan tanpa memilikinya maka KDN melalui agensi penguatkuasa termasuk Jabatan Imigresen, kita akan mengadakan operasi dan daripada operasi inilah kita akan temui adanya individu yang berada di negara kita tanpa mempunyai dokumen yang sah jadi mereka akan ditempatkan di depot imigresen,” jelasnya.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, inisiatif KDN menubuhkan Baitul Mahabbah disebabkan keprihatinan dan ihsan terhadap depot tahanan yang kurang kondusif untuk kategori kanak-kanak.

“Kalau premis asal depot itu kurang kondusif untuk didiami oleh kanak-kanak dari sinilah lahirnya idea inisiatif KDN, JIM, MAPO bahawa ada keperluan dan bukan sekadar keperluan tapi keperluan mendesak untuk kita adakan satu premis penjagaan yang berasingan, itu (Baitul Mahabbah) gunanya untuk memberi tempat tinggal yang lebih kondusif untuk anak-anak kategori umur dari bayi, ada juga berumur 9, 10, 11 tahun.

“Di situ kita tempatkan mereka secara berasingan tapi masih di bawah kawal selia jabatan yang berkenaan iaitu Jabatan Imigresen, ada juga anggota RELA yang melibatkan penjagaan keselamatan.

“Mengenai keadaan premis sangat selesa, ada bilik air, ruang mandi, ada sudut kanak-kanak, ruang stor untuk penyimpanan barang-barang mereka, ruang solat, ia serba lengkap,” tambah beliau.

Menurut Saifuddin, Baitul Mahabbah Papar mempunyai kapasiti seramai 100 orang di mana pada masa sekarang menempatkan seramai 62 orang iaitu 22 orang kanak-kanak lelaki, 18 orang kanak-kanak perempuan dan 22 orang perempuan dewasa iaitu ibu kepada kanak-kanak terbabit.

“Manakala jumlah keseluruhan depot imigresen ada 21 termasuk dua Baitul Mahabbah dengan kapasiti 20,650 orang. Sehingga 12 Disember 2023, terdapat 12,435 orang di depot imigresen,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, dua lagi Baitul Mahabbah akan dibuka iaitu di Tanah Merah, Kelantan dan Miri, Sarawak.

“Pada ucapan Bajet Perdana Menteri tempoh hari khususnya untuk projek ini KDN diperuntukkan RM10 juta, jadi sasaran kami ada dua lagi pembukaan selepas yang pertama di Nilai, kedua Papar, kita juga merancang akan buka di Kelantan dan juga di Sarawak.

“Ini sebagai permulaan kepada usaha ini. Terhadap persoalan berapa lama mereka berada di sini? Itu tergantung kepada berapa cepat dokumen perjalanan disediakan oleh pihak kedutaan negara mereka, lagi cepat, lagi cepatlah kita buat penghantaran pulang.

“Sementara mereka berada di sini menjadi tanggungjawab kita terutama dengan penghayatan prinsip kerangka Malaysia Madani ini ada satu nilai ihsan di sana, prihatin, cakna, peduli dan kasih sayang,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular