HomeUtamaPereka fesyen tempatan Sabah diseru manfaatkan dasar kerajaan berkaitan pemakaian batik

Pereka fesyen tempatan Sabah diseru manfaatkan dasar kerajaan berkaitan pemakaian batik

Read Time:2 Minute, 31 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pereka fesyen tempatan di negeri ini diseru supaya memanfaatkan kepada dasar kerajaan sedia ada contohnya dasar berkaitan dengan pemakaian batik dengan mengambil pendekatan yang lebih agresif untuk mempamerkan hasil-hasil kreativiti yang bermotifkan etnik tempatan dan moden.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Sabah Street Fashion Show adalah satu program yang cukup baik untuk bakat tempatan khususnya pereka fesyen tempatan di negeri ini memperagakan kreativiti mereka.

“Bersempena dengan program ini saya menyeru kepada pereka fesyen tempatan Sabah untuk memanfaatkan kepada dasar kerajaan sedia ada contohnya dasar berkaitan dengan pemakaian batik yang kini diperluaskan bukan hanya pada hari khamis tetapi setiap hari dalam program-program rasmi kerajaan dibenarkan untuk memakai batik.

“Jadi saya mengharapkan supaya pereka fesyen tempatan di negeri ini juga mengambil pendekatan yang lebih agresif untuk mempamerkan hasil-hasil kreativiti yang bermotifkan etnik tempatan dan digabungkan dengan motif moden.

“Malah ia bukan hanya batik di Sabah diguna pakai oleh orang-orang Sabah tetapi juga boleh menyaingi batik-batik produk keluaran negeri-negeri seperti Kelantan dan juga Terengganu.

“Tahniah kepada penganjur Sabah Street Fashion Show iaitu Ars ‘V’ Couture menganjurkan program yang cukup baik untuk bakat tempatan kita dengan memberikan platform, mempamerkan kreativiti dan inovasi mereka,” katanya pada sidang media semasa Majlis Perasmian Sabah Street Fashion Show di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Turut hadir Pengerusi Penganjur Sabah Street Fashion Show 2023, Datin Nursyahirah Abdullah.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, selain batik, pemakaian baju korporat bermotifkan etnik dan budaya negeri Sabah juga perlu diterokai oleh pereka fesyen tempatan ini.

“Bukan setakat batik sebenarnya kita juga melihat kepada pemakaian baju korporat juga, bagi saya satu potensi yang boleh diterokai pereka fesyen tempatan kita, bagaimana baju-baju korporat bermotifkan etnik dan budaya Sabah itu juga perlu diterokai,” katanya.

Menurut Armizan lagi, untuk jangka masa panjang beliau diamanahkan dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini, salah satu fungsi KPDN adalah untuk mewujudkan perdagangan dalam negeri yang mampan dan progesif.

“Di bawah teras tersebut salah satu insiatif kita ialah kempen beli barangan buatan Malaysia, ini salah satu kempen yang perlu dilaksanakan dengan lebih agresif di Sabah juga, kita ada saban tahun Kempen Belilah Barangan Malaysia hampir 40 tahun pada 2024 ini, kempen ini bermula dinamakan Kempen Belilah Barangan Buatan Tempatan itu yang dimulakan pada tahun 1984 jadi 2024 bermaksud sudah 40 tahun program itu dilaksanakan.

“Jadi kita mahu buat perubahan, saya ingin mengajak kepada pereka fesyen tempatan kita untuk program zon Sabah pada tahun hadapan, kita laksanakan dalam tempoh Bulan Kebangsaan berdekatan dengan Hari Malaysia, kita perlukan input daripada pereka tempatan kita dan juga pengusaha-pengusaha apakah kaedah untuk kita tambah baik pelaksanaan program tersebut?

“Saya fikir pendekatan kita tambah baik, kita tidak mahu ada program itu dimiliki KPDN sahaja tetapi kita perlu bersama usahawan kita iaitu para peniaga termasuklah pereka tempatan kita duduk bersama KPDN untuk kita melaksanakan program Karnival Belilah Barangan Buatan Malaysia pada tahun hadapan dan perbincangan berkaitan program itu perlu bermula daripada sekarang,” jelasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular