Kota Kinabalu : Kota Kinabalu berjaya meraih dua pingat emas menerusi Petanque acara Shooting masing-masing bagi kategori Lelaki dan Wanita yang berlangsung di Arena Petanque Politeknik Kota Kinabalu di sini.
Peserta mewakili Kota Kinabalu kategori Lelaki, Mohammad Aiman Danial berjaya menewaskan Muhammad Hazlami yang mewakili Papar dengan keputusan 18-6 pada peringkat akhir membolehkan kedua-dua peserta membawa pulang pingat emas dan perak.
Pingat gangsa bersama berjaya dimenangi Abraham Junior yang mewakili Kota Belud dan Muhammad Ruzaimi mewakili Putatan.
Sementara itu, bagi acara Shooting kategori Wanita berjaya dimenangi Nur Shaqina Sari yang mewakili Kota Kinabalu menewaskan Maxivianna (Tawau) dengan keputusan 15-9 membolehkan kedua-dua peserta membawa pulang pingat emas dan perak.
Kategori sama bagi pingat gangsa berjaya dimenangi Marysa Apple dan Adcey Nicole dengan keputusan 12-9.
Dalam pada itu, pasukan Beaufort dan Pitas berjaya memperoleh emas berpasukan lelaki dan wanita Petanque yang berakhir malam tadi.
Beaufort muncul johan kategori berpasukan lelaki setelah menewaskan Kota Belud dengan 2-1, sementara Kota Kinabalu di tempat ketiga.
Bagi kategori wanita berpasukan, emas milik Pitas setelah menewaskan Papar 3-0, manakala Keningau pula sekadar memperoleh gangsa.
Kejohanan petanque pada temasya kali ini menawarkan 11 pingat emas.