HomeUtamaKrismas dirai bersama, perkukuh keharmonian seluruh masyarakat di Sabah

Krismas dirai bersama, perkukuh keharmonian seluruh masyarakat di Sabah

Read Time:2 Minute, 9 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Tinjauan menjelang sambutan perayaan Krismas, orang ramai mula membanjiri pusat-pusat membeli-belah di sekitar ibu kota bandaraya Kota Kinabalu sejak dua tiga hari yang lalu.

Uniknya di Sabah, setiap perayaan akan diraikan bersama tidak mengira latar belakang, bangsa, suku kaum dan agama serta saling menghormati antara satu sama lain.

Bagi mereka yang meraikan Krismas, tinjauan mendapati persiapan yang dibuat hanya sederhana dan apa yang penting mereka sangat gembira kerana dapat meraikannya bersama-sama keluarga tersayang.

Antara pengunjung yang ditemui Sabah Media, Maria Aloi, 53, dari daerah Ranau berkata, beliau bersama keluarga datang ke Kota Kinabalu selain bertemu anak-anak yang tinggal di sini, mereka bersama-sama membeli-belah untuk persiapan sambutan Krismas yang akan diraikan di kediaman mereka di kampung halaman mereka iaitu Kampung Kemburongoh, Ranau.

Maria (kanan) bersama suami Acong dan anak saudara mereka.

“Persiapan Krismas tahun ini sederhana saja disebabkan ekonomi tidak menentu, apa yang lebih penting kami akan menyambutnya dengan anak-anak yang semua akan balik ke kampung.

“Memang ada kekangan dari segi perbelanjaan tapi kalau kita berbelanja dengan berhemah dan memadai meraikan bersama keluarga tersayang, saya rasa itu adalah lebih mengembirakan kami untuk meraikan Krismas pada tahun ini,” katanya.

Bagi Acong Limbakut, 62, suami kepada Maria berkata, uniknya di Sabah setiap perayaan diraikan oleh semua rakyat Sabah.

“Kami di kampung, dan di tempat lain juga, penduduknya meraikan setiap perayaan bersama-sama, tanpa mengira latar belakang, bangsa, agama dan kaum, sangat harmoni, hormati menghormati, itulah keunikan negeri Sabah,” ujarnya.

Sementara itu, pemandu pelancong, Calvin Shau, 26, dari Keningau berkata, beliau bersama isteri akan meraikan Krismas pada tahun ini di luar negara iaitu Taiwan.

Calvin bersama isteri Vallerie dan dua anak lelaki mereka, Eson, 4, dan Elon berusia sembilan bulan serta seorang adik lelaki Calvin.

“Saya bersama isteri saya akan meraikan Krismas di luar negara iaitu Taiwan pada tahun ini, ia juga merupakan rancangan berbulan madu kami kerana pada tahun-tahun sebelumnya rancangan kami terbatal disebabkan pendamik Covid-19.

“Kami datang ke KK membeli-belah bagi persiapan Krismas untuk keluarga di kampung sebelum kami berangkat ke Taiwan.

“Persiapan sederhana sahaja, namun kami mendoakan agar semua diberikan kesihatan yang baik dan dapat meraikan Krismas dengan penuh kegembiraan,” katanya.

Manakala seorang pekerja di pusat beli-belah, hanya dikenali sebagai Deela berkata, beliau turut sama memeriahkan sambutan perayaan Krismas bersama-sama rakan dan saudara mara yang beragama Kristian.

Deela (kanan) bersama rakan kerjanya.

“Bagi saya tidak salah turut sama memeriahkan apapun perayaan yang terdapat di Sabah asalkan ia bertujuan untuk menyatupadukan masyarakat kita supaya kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni di negeri ini,” kata Deela.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular