Tuaran : Tambunan sekali lagi mencipta rekod baharu kejohanan menerusi atletnya, Abernetha Elissa Tadius yang berjaya meraih pingat emas dalam acara 100 meter lari berpagar wanita yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuaran di sini pagi tadi.
Abernetha berjaya mencatat masa 14.96s sekaligus memadamkan rekod yang dibuat Agnes Lescoin Philip dari Penampang yang mencatat masa 15.15s pada Sukan Sabah (SAGA) 2013.
Semalam, Tambunan turut merekodkan rekod kejohanan yang baharu menerusi acara 100 meter Lelaki yang dimenangi Hanssen Yap Soon Fu dengan catatan masa 10.46s.
Pingat perak bagi acara 100 meter lari berpagar wanita berjaya dimenangi atlet Ranau Veeronica Seibit dengan catatan masa 15.49s dan gangsa dimenangi atlet Keningau Cassandra Joanna Patrick dengan catatan masa 15.59s.
Sementara itu, bagi acara 110 meter lari berpagar Lelaki berjaya dimenangi atlet Kudat, Mohammad Izz Zaidi Junaiday dengan catatan masa 15.51s membolehkan beliau membawa pulang pingat emas.
Bagi pingat perak dalam acara sama ianya dimenangi atlet Kalabakan Muhammad Ilham Jaffar dengan catatan masa 15.52s dan gangsa dimenangi atlet Lahad Datu Muhamad Fazrul Nizam Ajah dengan catatan masa 15.82s.
Turut diadakan acara olahraga peringkat akhir hari ini adalah 5000 meter kategori Lelaki yang dimenangi Nikos Tai Lee Onn dengan catatan masa 16:52.92s.
Pingat Perak berjaya diraih Mohammad Ahsan Atta Ur Rahman mewakili Beaufort dengan catatan masa 17:27.12s dan gangsa dimenangi Muhammad Dzulfikri Matin mewakili Kota Kinabalu dengan catatan masa 17:27.65s.
Selain Abernetha, atlet Tambunan bagi acara 200 meter Dexter Bedie turut berjaya mencipta rekod baharu kejohanan pada peringkat separuh akhir bagi acara itu petang tadi.
Dexter berjaya mencatat masa 22.06s sekaligus memecahkan rekod yang dicatat Muhammad Din Norbik dari Kota Belud yang mencatat masa 22.09s pada SAGA 2017. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH