HomeUtamaLoji Rawatan Air Telibong 2 telah siap - Shahelmey

Loji Rawatan Air Telibong 2 telah siap – Shahelmey

Read Time:2 Minute, 37 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PUTATAN: Berita baik untuk penduduk sekitar kawasan Kota Kinabalu bahawa pembinaan Loji Rawatan Air Telibong 2 telah siap dan sudah menghasilkan air, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya.

“Loji Rawatan Air Telibong 2 telah siap dan sudah menghasilkan air. Sasaran kita sebenarnya daripada kapasiti 80 Juta Liter Sehari (JLS) dan hanya boleh menyalurkan 40 JLS disebabkan kerja-kerja pemasangan paip belum siap sepenuhnya.

“Cuma masalah sekarang daripada sasaran 40 JLS itu kita beransur-ansur kepada 8 hingga 13 sudah kita suntik tambahan kepada sistem jadi ia memakan masa sebab air ini mekanik bendalir kita kena pastikan di mana tekanan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita Program Mesra Rakyat sempena Hari Natal Tahun 2023 & Tahun Baru 2024 di Kampung Potuki di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai gangguan bekalan air yang berlaku membabitkan kawasan Kota Kinabalu, Shahelmey berkata, masalah tersebut disebabkan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Moyog, Penampang.

“Kita ada sedikit mengalami gangguan air membabitkan kawasan di Kota Kinabalu apabila ada berlaku gangguan bekalan elektrik di Moyog, jadi bila terganggu bekalan elektrik tersebut maka operasi bekalan air juga terganggu.

“Manakala di sebelah Sepanggar juga mengalami perkara yang sama namun demikian Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedang berusaha keras untuk menstabilkan bekalan air ditambah pula lagi penghujung Disember ini permintaan sudah meningkat disebabkan cuti sekolah, orang ramai, homestay-homestay pun mula beroperasi dipenuhi dengan penghuni masing-masing jadi memang ada terdapat sedikit peningkatan permintaan bekalan air,” jelasnya.

Menurutnya, perkara itu beliau telah berbincang dengan JANS tentang usaha menstabilkan bekalan air dengan cepat.

“Saya ada berbincang dengan Jabatan Air pagi tadi tentang usaha menstabilkan bekalan air dalam keadaan yang cepat sebab air ni bukan seperti elektrik, kalau elektrik kita sambung ia terus hidup dan air ia mengambil masa sedikit untuk meningkatkan paras tekanan air lagi,” ujarnya.

Shahelmey berkata, selain JANS, Jetama juga memberi komitmen meningkatkan pengeluaran bekalan air yang ada lebih sedikit daripada biasa.

Perkembangan mengenai peruntukan RM300 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah, Shahelmey berkata, sebanyak RM200 juta telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri Sabah pada awal minggu lepas.

“Dengan adanya peruntukan itu, maka kerja-kerja untuk melaksanakan inisiatif yang terlibat akan dibuat dalam tempoh yang terdekat dan dijangka bekalan air akan stabil dalam suku pertama tahun depan,” katanya.

Ditanya mengenai gangguan bekalan air yang berlaku di Pulau Sebatik, Shahelmey berkata, beliau telah dimaklumkan perkara itu oleh Ahli Parlimen Kalabakan.

“Saya ada dihubungi oleh Ahli Parlimen Kalabakan dan sudah berhubung dengan Jabatan Air dan kita sedang meneliti macam mana untuk jangka sederhana dan juga jangka panjang kerana cabaran di Pulau Sebatik ini ianya pulau ada kekangan tetapi kita akan cuba cari jalan penyelesaian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahelmey turut memaklumkan bahawa pembinaan Fasa Dua projek menaik taraf Loji Rawatan Air Kampung Kogopon di Papar adalah berjalan dengan baik secara fizikalnya.

“Tetapi semalam saya difahamkan untuk pemasangan paip di sebelah Ketiau ada isu tentang pengambilan tanah jadi masa belum terlewat lagi, saya akan arahkan Jabatan Air untuk bersama dengan Jabatan Tanah selesaikan segera isu pengambilan tanah ini supaya secara keseluruhan pelaksanaan kerja-kerja itu tidaklah terjejas,” ujar beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi 40 peratus, pertahankan hak perlembagaan Negeri Sabah – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular