HomeIsu tempatanSambutan Krismas Kg Sayap lebih bermakna dengan bangunan baharu Gereja SIB

Sambutan Krismas Kg Sayap lebih bermakna dengan bangunan baharu Gereja SIB

Read Time:1 Minute, 15 Second

Kota Belud : Bangunan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kampung Sayap di sini yang dibina bermula 2016 dengan kos keseluruhan kira-kira RM1.52 juta kini siap sepenuhnya tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, dengan siapnya gereja baharu itu, sambutan Krismas penduduk di kampung berkenaan terutamanya yang menyambut Krismas tahun ini lebih bermakna.

“Pada saya, pembinaan rumah-rumah ibadat seperti ini satu gambaran jelas kepada amalan kebebasan beragama di negara kita terutamanya di Wilayah Borneo yang perlu dipelihara dan dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pentabisan Gereja SIB Kampung Sayap, di sini, hari ini.

Ewon turut memuji usaha pimpinan gereja atas usaha mengumpul dana dan semangat kebersamaan bergotong-royong memastikan penyiapan pembangunan gereja itu.

“Sebaik dipilih mewakili kawasan ini pada  2018, antara perkara pertama yang saya lakukan  ialah menyalurkan peruntukan menyimen jalan menuju ke gereja ini bagi memudahkan kenderaan mengangkut bahan-bahan binaan ke bangunan ini.

“Selepas itu, saya juga telah berkunjung ke sini dan menyampaikan sumbangan untuk pembangunan gereja ini. Saya percaya sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan kewangan pihak gereja,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menyokong usaha pimpinan gereja itu untuk merancang menambahbaik kemudahan gereja.

“Selain untuk tujuan beribadah, bangunan gereja ini juga pastinya akan menjadi tumpuan para pengunjung khususnya umat gereja yang melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan,” katanya. 

Beliau berkata, selain pembangunan gereja di kawasan Kadamaian, pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan kemudahan-kemudahan lain turut diberi perhatian.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PSI Universiti Oxford, UMS catat sejarah jalin kerjasama dalam penyelidikan pandemik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular