HomeUtamaMayat wanita dengan kesan tetakan di badan ditemui di ladang sawit

Mayat wanita dengan kesan tetakan di badan ditemui di ladang sawit

Read Time:1 Minute, 24 Second

BEAUFORT: Mayat seorang wanita ditemui dengan kesan tetakan di beberapa bahagian badan dipercayai telah dibunuh dalam satu kejadian di kawasan belukar, ladang sawit, Kampung Ulu Bambangan, Membakut pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintenden Ismail Abdullah berkata, mayat mangsa wanita berumur lingkungan 40’an itu dijumpai oleh ahli keluarga mangsa di kawasan belukar, ladang sawit, Kg Ulu Bambangan, Membakut lebih kurang jam 11 pagi semalam (25 Dis).

Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang ketika turun bekerja di ladang sawit tempatnya bekerja sebelum mayat mangsa dijumpai oleh suami mangsa sendiri setelah menemui sehelai seluar warna hitam milik mangsa di tempat kerja suami mangsa di kebun sawit yang sama.

“Ahli keluarga mangsa seterusnya berusaha mencari mangsa di sekitar penemuan seluar mangsa dan akhirnya berjaya menjumpai mayat mangsa di belukar berhampiran dalam keadaan kesan kecederaan tetakan di beberapa bahagian badan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Menurut Ismail, pemeriksaan dan siasatan oleh Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah (JSJ IPK) ke atas mayat di tempat kejadian mendapati tapak tangan sebelah kanan mangsa hampir putus, kesan luka bahagian dahi sebelah kanan dan kesan kelar di bahagian leher yang dipercayai kesan kecederaan akibat ditetak dengan senjata tajam.

“Berikutan penemuan mayat wanita tersebut, empat individu warga Filipina termasuk seorang wanita dalam lingkungan umur 30 hingga 40’an telah ditahan semalam.

“Penahanan mereka telah dibuat di daerah Beaufort bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, empat suspek yang ditangkap setakat ini akan ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Usaha mengesan suspek lain masih giat dijalankan dengan bantuan Unit Siasatan Khas D9, Unit Anjing Pengesan K9 dan Unit Forensik JSJ IPK Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi 40 peratus, pertahankan hak perlembagaan Negeri Sabah – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular