HomeUtamaSidang DUN Khas bagi Sabah ambil alih kawal selia bekalan elektrik

Sidang DUN Khas bagi Sabah ambil alih kawal selia bekalan elektrik

Read Time:2 Minute, 8 Second

Penampang : Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Khas yang dijadualkan pada 3 Januari depan adalah untuk meluluskan satu Rang Undang-Undang (RUU) bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya yakin dan positif bahawa RUU itu akan disokong sepenuhnya oleh wakil-wakil rakyat di Sabah.

“Antara agenda bagi Sidang DUN Khas nanti adalah untuk kita (ADUN) meluluskan satu RUU bagi Kerajaan Sabah menerima kuasa dalam bidang kawal selia elektrik di negeri ini.

“Saya sangat positif bahawa ini akan disokong oleh semua ADUN-ADUN kerana ia terkait dengan hak kita dalam Perjanjian Malaysia yang telah dipersetujukan  dan dilaksanakan dalam Kerajaan hari ni dibawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Rumah Terbuka sempena sambutan Hari Krismas di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni. 

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, beliau turut berbangga apabila menjadi sebahagian daripada keputusan Kabinet untuk menyerahkan kawal selia itu kelada Sabah.

“Seterusnya selepas kelulusan RUU itu maka Kerajaan Sabah akan mempunyai  autoriti sepenuhnya dalam kawal selia elektrik contohnya membuat keputusan sama ada untuk melanjutkan kontrak Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) di Sabah.

“Pada pandangan saya seharusnya tidak dilanjutkan supaya kita boleh memberikan  sokongan yang lebih kuat kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk memiliki aset-aset sendiri termasuk loji-loji penjanaan elektrik di Sabah,” katanya.

Pada Jun lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan satu Sidang DUN Sabah Khas akan dijadualkan pada 3 Jan tahun hadapan bagi membolehkan kerajaan negeri itu mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik negeri.

Hajiji berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada dasarnya, telah membenarkan Sabah untuk mengambil alih kawal selia bekalan elektriknya pada 1 Jan 2014, oleh sebab itu bagi mencapai sasaran, penyelarasan dan kerjasama daripada semua pihak penting, supaya semua isu, terutamanya proses undang-undang, dapat diselesaikan.

Hajiji berkata antara langkah yang perlu dilakukan ialah kelulusan Kabinet Persekutuan untuk memohon dan mewartakan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan, bagi menggantung Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 448), Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011 (Akta 725), dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726), di Sabah.

“Seterusnya, perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diperlukan dan disusuli dengan urusan (Lay Order) semasa sidang Parlimen, yang boleh dibentangkan selepas tarikh penggantungan tersebut,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Hentikan fitnah, Musa Aman pilihan tepat sebagai TYT Sabah – Yahya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular