HomeUtamaKarnival kerjaya diperluas ke universiti tahun depan

Karnival kerjaya diperluas ke universiti tahun depan

Read Time:1 Minute, 20 Second

Kota Kinabalu : Karnival Kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan diperluas ke peringkat university bagi membolehkan para mahasiswa mencari kerja selepas tamat pengajian.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, inisiatif yang akan bermula tahun depan itu merupakan antara usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran belia dan graduan.

Katanya, pada ketika ini pengangguran dikalangan belia dan graduan mencecah 10.1 peratus berbanding 3.6 peratus kadar pengangguran keseluruhan negara ketika ini.

Menurutnya lagi, inisiatif itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh mahasiswa sendiri melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universiti masing-masing sebagai pendedahan kepada pelajar untuk mendekati pihak industri yang menawarkan peluang pekerjaan.

“Antara yang kita akan buat ialah membawa karnival kerjaya ke universiti dan ia akan diurus oleh MPP serta sukarelawan mahasiswa supaya mereka tahu bagaimana mengurus karnival kerjaya dengan kerjasama PERKESO.

“Kita beri pengalaman mengurus karnival kerjaya kepada mahasiswa supaya mereka boleh melihat potensi syarikat yang mereka panggil sendiri dan berinteraksi sendiri dengan syarikat atau industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Karnival Kerjaya Parlimen Sepanggar, di sini, semalam.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha KPT untuk mengatasi pengangguran dalam kalangan graduan di negara ini.

Beliau  berkata KPT juga akan memastikan kebolehpasaran graduan dan belia dapat ditingkatkan mulai tahun depan.

“Pengangguran belia masih tinggi, jadi ini memerlukan keprihatinan semua pihak dan kami di KPT akan pastikan kebolehpasaran graduan kita meningkat.

“Antara yang kita akan buat ialah kita mahu universiti dipacu oleh industri supaya dapat menghasilkan graduan yang diperlukan industri. Kita tidak mahu graduan tidak dapat kerja apabila tamat pengajian,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular